fbpx
Nasional

Zahid pula gesa swasta bantu kerajaan tangani wabak korona

DATUK SERI Ahmad Zahid Hamidi menggesa hospital swasta bersama-sama dengan hospital awal dalam menangani wabak virus korona.

Ahmad Zahid berkata, dalam keadaan kritikal, semua pihak patut memainkan peranan untuk membantu tanpa mengira soal wang atau kos. Di Malaysia banyak hospital swasta yang mempunyai kemudahan canggih dan khidmat doktor pakar.

“Pada masa yang sama, tahap kemampuan di 26 hospital kerajaan dan satu hospital universiti amat terhad. Dengan jumlah katil yang terhad sebanyak 3,400 dan 300 katil ICU. Ditambah pulak dengan kekurangan kakitangan dan terpaksa bekerja lebih masa dan mengalami keletihan melampau. Pihak hospital swasta disarankan memainkan peranan dalam tempoh gawat dan kecemasan ini untuk turut serta dalam membantu negara dan rakyat,” katanya..

Negara, katanya, memerlukan fasiliti tambahan untuk khidmat perubatan terutamanya saringan dan rawatan, ambulans, doktor dan kakitangan. Amat tidak molek jika semua hospital awam penuh sesak sampai tidak mampu menangani pemeriksaan, namun bangunan hospital swasta lengang dan tidak membantu negara.

“Zaman krisis ini bukan masa untuk mengutip untung. Pekerja dan rakyat berkorban, tiada pendapatan maka bukan waktu yang sesuai untuk hospital swasta memikirkan atau menghitung soal untung rugi. Mereka harus menghulurkan segera khidmat untuk negara ini.


“Hospital swasta dicadangkan sekurang-kurangnya untuk membuat saringan Covid-19 secara percuma atau kos paling minimum kepada mana-mana rakyat yang memerlukan,” katanya.

Hospital swasta, ujar Ahmad Zahid yang mempunyai fasiliti mencukupi juga boleh menjalankan saringan dari rumah ke rumah di kawasan zon merah wabak Covid-19.

“Ini dilakukan di Korea Selatan. Mereka menjalankan antara 12,000 hingga 20,000 ujian pengesanan Covid-19 termasuk menggunakan pendekatan pandu lalu. Mereka melawan Covid-19 dengan teknologi Big Data dan kecerdasan buatan (AI),” katanya.

“Sekarang masanya semua pihak menggembleng tenaga membantu negara. Negara memerlukan sumbangan kita semua dalam apa cara sekalipun,” kata Ahmad Zahid.

Show More

Related Articles

Back to top button