Kebakaran

Wanita warga emas maut kebakaran di Jonker Walk

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 8 Jun – Seorang wanita warga emas maut dalam kebakaran membabitkan rumah kedai dua tingkat yang
disewanya di di Jalan Hang Kasturi, Jonker Walk di sini, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintenden Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, mangsa yang
meninggal dunia dikenali sebagai Koo Kim Foong, 75, melecur antara 60 hingga 70 peratus di bahagian paha
dan perutnya.

Menurutnya, wanita berkenaan tidak dapat keluar dari rumah kedai yang disewa seorang diri sewaktu
kebakaran berlaku kira-kira pukul 9.40 malam.

Beliau menjelaskan mangsa dipercayai tinggal di rumah kedai itu seorang diri dan telah menyewa sejak 70
tahun lalu.

Jelasnya, kebakaran tersebut disedari oleh orang awam sebelum menghubungi talian kecemasan.

“Pasukan bomba berjaya menemukan mayat mangsa di tingkat atas rumah dua tingkat itu dalam keadaan tidak
sedarkan diri.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat,”
katanya di sini malam tadi.

Mengulas lanjut Raiz Mukhliz, pihak bomba mengambil masa tiga jam sebelum dapat memadamkan kebakaran itu
daripada merebak ke premis lain dan hanya menemui satu mayat

Menurutnya, siasatan awal dilakukan pasukan forensik polis ke atas mangsa dan tidak menemui sebarang unsur
jenayah.

Di samping itu katanya, keterangan daripada saksi di tempat kejadian termasuk anak mangsa telah dibuat dan
kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu Komander Operasi Pegawai Bomba Tinggi II (PBT II), K. Karuppanan berkata, pihaknya menerima
panggilan kecemasan berhubung kebakaran berkenaan pada jam 9.37 malam.

Menurutnya, dua buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah dan Padang Temu
membabitkan 23 anggota telah dikejarkan ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran yang berlaku.

Katanya, menurut laporan awal daripada orang awam dua mangsa terperangkap di tingkat atas bangunan rumah
kedai berkenaan.

“Anggota operasi berjaya menemui seorang wanita Cina berusia 70-an dalam keadaan tidak sedarkan diri dan
selepas pemeriksaan oleh pegawai perubatan mangsa disahkan sudah meninggal dunia.

“Kebakaran membabitkan dua pintu bangunan rumah kedai jenis sementara, hampir 80 peratus bangunan
berkenaan musnah dijilat api,” katanya.

Beliau berkata, punca sebenar kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

(Visited 209 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button