Mahkamah

TVET: UniMAP kolaborasi dengan Nihon Superior

UNIVERSITI Malaysia Perlis (UniMAP) terus berkolaborasi dengan pihak industri sebagai menyahut saranan kerajaan supaya agenda Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) berjaya dilaksanakan.

Terbaru UniMAP menandatangani memorandum perjanjian bersama dengan salah sebuah syarikat pengeluar bahan pateri terbesar di Jepun, Nihon Superior Co Ltd bagi meneroka projek penyelidikan dan pembangunan bahan penyambungan elektronik baharu.

UniMAP menerusi anak syarikatnya, Tehnopreneur UniMAP Sdn Bhd (TUSB) diwakili okeh Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Shahruddin Othman manakala Nihon Superior diwakili Yuji Kozutsumi yang juga Pengarah Urusan syarikat terkenal itu.

Turut hadir Pengarah TUSB, Dr. Mujahir Ab Rahim, Pengurus R&D Nihon, Pavithiran Narayanan dan Naib Canselor UniMAP, Prof Ts Dr. Zaliman Sauli.

Nihon Superior yang berpangkalan di Osaka, Jepun ini yang juga beroperasi di Jelapang, Ipoh telah bersetuju meneroka projek pembuatan bahan penyambungan elektronik bersifat pengalir lampau bagi aplikasi peralatan perubatan dan komunikasi bersama kumpulan penyelidik UniMAP yang diketuai Prof Madya Ir Dr. Mohd Arif Anuar Mohd Salleh.

Antara ahli kumpulan penyelidik lain termasuk Prof Dr. Kazuhiro Nogita, Prof Dr. Mohd Mustafa Al Bakri, Prof Dr. Zaliman Sauli, Dr. Flora Somidin, Dr. Rita Mohd Said, Dr. Norainiza Saud dan Dr. Dewi Suriyani Che Halin.

Bagi projek penyelidikan ini, Nihon Superior bersetuju menyalurkan dana geran penyelidikan berjumlah RM313,000 serta penajaan pengajian bagi seorang pelajar bagi mengikuti program pengajian kedoktoran di UniMAP.

Selain untuk aktiviti penerokaan penyelidikan bahan penyambungan elektronik yang baharu, ia juga termasuk bagi menampung kos kumpulan penyelidik bagi menjalankan aktiviti perincian bahan menggunakan beberapa peralatan termaju di Jepun.

Dr. Zaliman berkata, jalinan kolaborasi di antara Nihon Superior dan UniMAP ini telah terjalin bermula sejak 2012 dimana dana penyelidikan bernilai hampir RM2juta telah disalurkan serta sembilan pelajar sarjana dan kedoktoran telah ditaja sehingga kini.

Katanya, kolaborasi penyelidikan sejak 2012 ini telah berjaya membantu Nihon Superior dalam pembangunan bahan pateri yang baru serta penambahbaikan proses pembuatan bahan pateri sedia ada.

“Jalinan kolaborasi kukuh dengan syarikat antarabangsa seperti ini menunjukkan bahawa UniMAP sentiasa komited dalam memberi sumbangan kepakaran kepada industri-industri di Malaysia dan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Tambah beliau, dengan cara ini membuktikan UniMAP membuka peluang seluas-luasnya kepada pelbagai pihak seperti industri bagi pemindahan kepakaran dan teknologi yang akhirnya dapat memenuhi tuntutan serta keperluan semasa negara.

“Kerjasama ini secara tidak langsung membuktikan komitmen universiti dalam menjayakan Program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) dan pemindahan ilmu berimpak tinggi dengan memperkasakan UniMAP4Society,” tambahnya. – SM

(Visited 577 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button