Trump berkeras, desak adakan kiraan semula undi
PRESIDEN Donald Trump dilaporkan mengadakan perbualan telefon dengan Setiausaha Negeri Georgia, Brad Raffensperger, dan mendesak Georgia untuk mengira semula undi, lapor agensi berita Sputnik.
Akhbar Washington Post, yang memperoleh rakaman perbualan itu pada Ahad melaporkan turut menyertai perbualan berkenaan setiausaha penasihat undang-undang, Ryan Germany.
“Apa yang ingin saya lakukan hanyalah… saya mahu memperoleh 11,780 undi, yang lebih banyak daripada yang kita ada. Kerana kita menang di negeri ini,” kata Trump.
“Tidak mungkin saya kehilangan Georgia. .. Tidak mungkin. Kami menang dengan ratusan ribu undi.”
Trump berkata, jika Raffensperger gagal mendapatkan jumlah undi itu, beliau dan Ryan Germany bakal berdepan tindakan kerana memusnahkan kertas undi untuk menghalang siasatan.
“Itu kesalahan jenayah,” kata Trump. “Anda tidak boleh membiarkannya. Itu risiko besar bagi anda dan Ryan, peguam anda.”
Penjumlahan undi di Georgia dilakukan sebanyak tiga kali, setiap kali ia menunjukkan calon Demokrat Joe Biden menewaskan Trump dengan margin yang tipis. Biden diumumkan memenangi semua 16 undi elektoral di Georgia.
Pelantikan rasmi Biden sebagai Presiden AS dijadual pada 20 Januari.
Trump, enggan akur dengan kekalahannya walaupun 60 petisyen yang dikemukakan kempennya sejak sebulan lalu telah ditolak. – BERNAMA