Politik

Abdul Hadi dakwa negara Islam tetap tertekan walau Biden jadi Presiden AS

NEGARA-NEGARA Islam terutama di Timur Tengah didakwa akan berterusan berhadapan cengkaman dan tekanan daripada Amerika Syarikat (AS).

Walaupun negara itu sudahpun memiliki Presiden yang baharu iaitu, Joe Biden namun, bekas orang nombor dua Barrack Obama itu didakwa meneruskan dasar Zionis.

Malah, negara-negara kecil atau lemah juga akan terus dijadikan ‘buah catur’ oleh AS untuk meneruskan pengaruh globalnya sebagai kuasa besar.

“Biden adalah penyokong dasar terdahulu terhadap Israel dan campur tangan dalam urusan negara Islam, seperti menyerang Afghanistan, ‘mengkhadamkan’ puak Kurdi di sempadan Turki, Syria, Iraq dan Iran.

“Termasuklah penggerak perang proksi di Syria, Libya dan Yaman, memecah belahkan Iraq, serta mengepung Iran dan mengugut semua negara yang tidak mengikut kehendaknya.

“Maka dipilih pendekatan diplomatik yang lembut supaya masuk ke dalam pengaruhnya, dan dapat diletak serta diatur dalam percaturannya.

“Begitulah juga, realiti politik di Amerika Syarikat laksana papan dan buah catur yang sama, hanya sekadar bertukar pemainnya sahaja.”

Demikian kata Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataannya hari ini.

Kenyataan yang dikeluarkan itu dilihat bertentangan dengan dasar diplomatik diamalkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin sebaliknya sebelum ini mengucapkan tahniah kepada Biden kerana memenangi pilihan raya dan menjadi Presiden AS Ke-46 dan mula menjalankan tugasnya pada 20 Januari lalu.

Tambah Muhyiddin, Malaysia meingkut rapat perkembangan politik AS termasuklah proses pilihan rayanya yang menyaksikan Biden menewaskan Presiden AS Ke-45, Donald Trump.

Dalam pada itu, Abdul Hadi menambah, terdapat pemimpin-pemimpin yang menjadikan situasi ini sebagai peluang untuk berpaut kepada negara besar seperti AS.

Ini kerana, mereka dikatakan mahu kekal berkuasa dengan sokongan AS.

“Mereka sekadar masih menumpang harapan bagi mengekalkan kuasa di bawah naungan Amerika dan mendapatkan kuasa dengan pertolongannya.

“Peranan Amerika Syarikat dapat dilangsungkan selagi ada manusia yang terus bersedia manjadi khadam mereka, atau meminta untuk menjadi khadam. Kelompok itu pasti akan dipergunakan lagi seperti biasa.

“Segala perancangan Amerika Syarikat akan dapat dilakukan, sekiranya masih ada bangsa dan negara yang bersifat masih dijajah pada hakikatnya, walaupun sudah diisytiharkan kemerdekaan sejak beberapa dekad yang lalu.

“Mereka masih lagi bergantung dengan pengaruh negara bekas penjajah, walaupun negara penjajah itu sudah gugur satu demi satu di negara masing-masing,” jelas Presiden Pas itu. – SM

(Visited 166 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button