Politik

Tiada lagi panggilan katak atau pengkhianat – Mas Ermieyati

Kemenangan Datuk Mas Ermieyati Samsudin mempertahankan kerusi Parlimen Masjid Tanah bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekali gus memadamkan gelaran ‘katak’ dan pengkhianat parti yang dilemparkan kepadanya sejak menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurutnya, kejayaan itu bukan mudah untuk diraih apa lagi sewaktu tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Bidara pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, November lalu.

Katanya, laluan yang ditempuhnya bagaikan onak dan duri apabila diumumkan sebagai calon PN mempertahankan kerusi berkenaan dengan kempennya sepanjang PRU15 disabotaj pihak tidak bertanggungjawab.

“Kemenangan ini membuktikan tiada yang mustahil, sekiranya seluruh jiwa ikhlas bekerja serta berkhidmat untuk masyarakat.

“Bukan mudah sebenarnya kerana perlu melalui pelbagai cabaran getir. Saya harap gelaran sebagai katak dan pengkhianat dapat dipadamkan daripada hidup saya.

“Tidak ada yang mustahil sekiranya kita berkhidmat dan bekerja untuk masyarakat. Segalanya akan menjadi mudah apabila diizinkan olehnya.

“Terima kasih kepada pengarah jentera pilihan raya berbanding PRN Melaka lalu yang mendorong kejayaan saya hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Sukan Masjid Tanah, Melaka malam tadi.

Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Parlimen Masjid Tanah, Saifuddin Abdul Karim mengumumkan kemenangan Mas Ermieyati apabila meraih 25,604 undi dengan majoriti 4,411 undi.

Beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Abdul Hakim Abdul Wahid yang memperoleh 21,193 undi; calon Pakatan Harapan (PH) daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Mutalib Uthman (7,445 undi).

Manakala calon Gerakan Tanah Air (GTA), Handrawirawan Abu Bakar meraih 507 undi yang menyaksikan dia kehilangan deposit.

Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Melaka itu berkata, beliau komited untuk terus bekerja bagi memastikan segala perancangannya mengikut pelan tindakan secara berperingkat.

Tegasnya, beliaun akan terus bekerja serta memastikan pelan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang yang dirancang di Parlimen ini mengikut seperti apa yang telah dirancangkan.

“Terima kasih juga kepada pengundi yang matang, walaupun ada antara mereka penyokong PH dan UMNO namun mereka tetap memilih saya mungkin sebagai mengiktiraf kerja ataupun prestasi kerja saya selama ini,” ujarnya. – SM

(Visited 136 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button