Politik

Imej bersih Tan Sri Muhyiddin Yassin punca kejayaan Pas Melaka

Imej yang bersih yang ditampilkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pentadbiran negara sewaktu menjadi Perdana Menteri sebelum ini menjadi kunci pencapaian parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berakhir semalam.

Pesuruhjaya Pas negeri, Zulkifli Ismail berkata, itu merupakan fenomena di peringkat nasional adalah antara punca kejayaan Pas Melaka buat pertama kali meraih kemenangan atas tiket PN di Parlimen Tangga Batu dan Jasin.

Menurutnya, kemenangan tersebut cukup jelas membuktikan rakyat mahukan pemimpin yang membawa budaya politik bersih dan hanya Pas serta PN mampu melakukannya.

Menurutnya, sejak penubuhan PN disertai oleh Pas ia merupakan indikator yang sangat positif kerana parti itu telah membuktikan kepimpinan, pentadbiran dan urus tadbir yang bersih bersifat prihatin serta stabil.

“Kejayaan dicapai oleh Pas dan PN di Melaka serta seluruh negara adalah satu fenomena menunjukkan bagaimana rakyat kehausan kepada pemimpin yang membawa budaya politik bersih sebagaimana slogan ‘bersih dan stabil’.

“Ini juga adalah fenomena nasional kerana rakyat hari ini adalah zaman di mana langit terbuka maka apa yang berlaku di Kelantan, Kedah dan Terengganu yang ditadbir oleh Pas dimaklumi detail oleh rakyat pada PRU15 ini,” ujarnya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan Kuliah Dhuha Mingguan di Pondok Baitul Qurro Wal Fuqoha di Paya Rumput Jaya, Sungai Udang di sini hari ini.

Zulkifli yang mewakili PN menang dengan majoriti 322 undi selepas memperoleh 27,893 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Roslan Ahmad yang mendapat 27,571 undi, calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Harun Mohamed meraih 21,675 undi dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Datuk Mohd Daud Nasir 460 undi.

Bagi kerusi Parlimen Tanga Batu pula dimenangi Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Bakri Jamaluddin apabila meraih 37,406 undi dengan majoriti 8,849 undi menewaskan empat calon iaitu penyandang dari Pakatan Harapan (PH), Rusnah Aluai, Datuk Lim Ban Hong (BN), Ghazali Abu (GTA) dan Shahril Mahmood (Bebas).

Mengulas lanjut beliau melahirkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat di Parlimen Jasin kerana memberi mandat kepada PN untuk menang di kerusi tradisi atau fix deposit milik BN sejak 1974.

“Kini kepada kami mandat diberikan oleh rakyat bagi memastikan bahawa harapan itu sebagaimana dihasratkan kepada PN akan kami usaha dan tunaikan, Insya-Allah,” ujarnya. – SM

(Visited 234 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button