Nasional

Tak malu cari rezeki jadi badut

Seorang lelaki pernah menggemparkan Felda Jelai, Gemas, Negeri Sembilan pada 2012 kerana memiliki tabiat pelik apabila menjadikan serpihan kaca lampu kalimantang dan kaca lampu sebagai menu hariannya.

Namun kini selepas 10 tahun berlalu, Mohd. Fahmi Mohd. Nazdri, 30, kini tidak lagi mengamalkan tabiat peliknya itu sewaktu di zaman remajanya.

Sebaliknya, dia kini kerap dilihat menjadi ‘badut’ sambil meniup belon berada di kawsan tumpuan pelancong dan orang ramai kerana menjadikan ia sebagai kerjaya sepenuh masa dan sumber pendapatan
keluarganya.

“Dulu waktu usia 20 tahun saya amat dikenali di Felda Jelai kerana tabiat pelik makan kaca lampu kalimantang dan mentol tetapi sekarang tidak lagi.

“Kini saya menjadi badut sebagai kerjaya sepenuh masa dan inilah sumber pendapatan menyara isteri dan seorang anak berusia dua tahun,” ujarnya ketika ditemui di Dataran 1Malaysia Klebang, di sini semalam.

Mohd. Fahmi berkata, biarpun ada menilai dan memandang rendah kerjayanya sebagai badut namun dia tidak ambil peduli perkara tersebut kerana sumber rezeki yang diperolehinya adalah halal.

Katanya, kerjaya yang diceburinya sebelum berumahtangga tidak membebankannya tetapi disokong isterinya, serta rakan-rakan sehingga menjadikannya lebih yakin dan optimis untuk berjaya serta
mempunyai kumpulan sendiri.

Katanya, setiap hari dia akan pergi ke tempat tumpuan orang ramai khususnya di Klebang selain di Bandar Hilir untuk menghiburkan kanak-kanak dengan memakai kostum badut dengan solekan tidak menarik.

“Sehari khususnya cuti hujung minggu bolehlah saya mendapat pendapatan antara RM80 hingga RM100 sehari dan jika menerima tempahan untuk sambutan hari jadi atau apa sahaja keraian bolehlah saya dapat lebih sikit,” ujarnya.

Dia yang kini berpindah ke Melaka dan menetap di Bemban, Jasin merasa seronok dengan kerjaya baharunya menghiburkan kanak-kanak sambil meniup belon dan alatan magis yang lain.

Katanya, setiap kanak-kanak yang inginkan belon yang digubah menjadi pelbagai objek tidak dikenakan sebarang bayaran tertentu tetapi bersedekah mana termampu.

Ujarnya, berbekalkan kemahiran yang dimiliki, minat mendalam serta bersikap terbuka ketika menghiburkan kanak-kanak, ia menguatkan semangatnya untuk meneruskan kerjaya itu. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button