Nasional

Tiga kilang di Jasin diarah tutup sementara

Gara-gara gagal mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan, tiga buah kilang memproses makanan di Jasin diarah tutup sementara.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Rushdi Abd Rahman berkata, tiga kilang tersebut ialah memproses ais krim, susu tepung dan taufu yang masing-masing beroperasi di Kawasan Perindustrian Jasin serta kawasan perindustrian Halal Hab di Serkam.

Menurutnya, ketiga-tiga kilang terbabit didapati melanggar Seksyen 11, Akta Makanan 1983 manakala 10 lagi kilang memproses makanan pula dikenakan kompaun.

Beliau berkata, kilang memproses mi, taufu, susu tepung, ais krim dan yogurt, masing-masing dikenakan kompaun RM2,500 di bawah Perkara 9 akta yang sama kerana tidak menyediakan atau mengadakan satu Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM).

“Jabatan Kesihatan negeri sudah melakukan pemeriksaan ke atas 73 kilang memproses makanan dengan 58 kompaun bernilai RM47,350 dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Operasi bersepadu Jabatan Kesihatan negeri dijalankan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) bersama Unit Inspektorat dan Perundangan serta Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dengan diketuai Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Ruzita Mustaffa bersama 30 anggota penguat kuasa kesihatan.

Rushdi berkata, operasi berkenaan dijalankan bertujuan untuk memastikan semua kilang memproses makanan di negeri itu mendapatkan persijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).

Menurutnya, ia selaras dengan kehendak Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 iaitu di bawah Peraturan 9 yang mewajibkan setiap pemilik premis pengilangan makanan menyedia dan mengadakan satu PJKM.

“Saya minta semua pengusaha kilang makanan supaya mendapatkan persijilan MeSTI bagi memastikan makanan yang disediakan adalah selamat dan tidak menyebabkan kemudaratan kepada pengguna,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, PJKM adalah satu sistem amalan terancang yang didokumenkan dan memberi jaminan bahawa mana-mana jenis makanan tertentu tidak akan memudaratkan pengguna apabila dimakan.

Selain MeSTI, PJKM turut memperkenalkan pensijilan seperti Good Manufacturing Practice (GMP) dan Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP).

Sehubungan itu Rushdi menasihatkan orang ramai supaya bijak memilih produk makanan yang mempunyai label dan maklumat yang betul serta mempunyai logo persijilan yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan (KKM). – SM

(Visited 394 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button