Nasional

JKPK akan serah resolusi tangani isu penipuan dalam talian

Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat (JKPK), Majlis Mesyuarat Dewan Negara akan menyerahkan beberapa resolusi kepada kerajaan bagi menangani isu penipuan dalam talian (online scam) yang semakin berleluasa di negara ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, lima mesyuarat yang telah diadakan setakat ini berjaya merumuskan beberapa pendekatan bukan sahaja menangani berhubung isu tersebut tetapi juga untuk menyekat daripada berlakunya penipuan dalam talian.

Menurutnya, pihak jawatankuasa telah mendapatkan banyak maklumat daripada Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan juga mangsa penipuan daripada Persatuan Siswazah Wanita Malaysia.

Beliau berkata, turut membantu ialah Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) dan Persatuan Pengguna Negeri Melaka.

“Hasil daripada pandangan dan maklumat daripada semua pihak dirumuskan dan beberapa syor akan dikemukakan kepada kerajaan dalam masa terdekat ini.

“Isu penipuan dalam talian dilihat sangat membimbangkan kerana ia membawa mudarat kepada rakyat di negara ini termasuk mereka mengalami kerugian jutaan ringgit.

“Berdasarkan perangkaan yang diperoleh, kes jenayah ini mencatatkan peningkatan. Usaha pencegahan perlu dilaksanakan dengan lebih komprehensif dan memastikan isu penipuan dalam talian ini dapat diatasi dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.

Beliau ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut yang dihadiri Timbalan Gabenor Bank Negara, Aznan Abdul Aziz, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) Senator Datuk Ras Adiba Radzi, Pengerusi CFM, Muhamad Radzillah Abdullah dan Pengurus Kanan FOMCA, S. Baskaran.

Mengulas lanjut Mohamad Ali yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara berkata, beberapa resolusi itu lebih tertumpu dalam memastikan isu penipuan dalam talian itu dapat diatasi sepenuhnya.

Menurutnya, hasil daripada siri prosiding dan mesyuarat yang telah diadakan sebanyak lima kali itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Dewan Negara Penggal Ketiga tidak lama lagi.

(Visited 129 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button