Nasional

Syarikat perlu tanggung kos vaksinasi, bukan pekerja

SYARIKAT perlu menanggung kos sampingan untuk pemberian vaksin kepada pekerja mereka di bawah Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, walaupun vaksin Covid-19 adalah percuma, syarikat yang mahu pekerja mereka divaksin perlu membayar kos samping.

“Majikan tidak dibenarkan memotong gaji pekerja untuk menanggung yuran pentadbiran kepada pengamal am perubatan swasta dan penggunaan pusat pentadbiran vaksin yang dikendalikan pihak swasta termasuklah apabila pekerja tidak lagi bekerja di syarikat sama sebelum imunisasi penuh pekerja berkenaan.

“Kerajaan komited untuk memastikan pekerja mendapat vaksin percuma di bawah PIKAS, yang disokong sektor swasta,” kata Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam kenyataan hari ini.

PIKAS akan bermula pada 16 Jun ini dengan vaksinasi dijalankan di premis kilang dan lokasi perindustrian dikenal pasti.

MITI berkata, syarikat dalam subsektor pembuatan kritikal, termasuk elektrik dan elektronik, pemprosesan makanan, besi dan keluli, alat perubatan, alat perlindungan diri (PPE), minyak dan gas serta produk getah, termasuk pembuatan sarung tangan perubatan, akan diberikan keutamaan untuk vaksinasi.

Setakat ini, MITI menerima permohonan daripada lebih 500 syarikat membabitkan 106,591 pekerja untuk menyertai PIKAS.

“Syarikat pembuatan lain yang berminat mengambil bahagian disaran mengemukakan permohonan melalui persatuan industri dan dewan perniagaan sektor masing-masing.

“Keutamaan vaksinasi syarikat akan ditetapkan mengikut beberapa pertimbangan, termasuk lokasi syarikat di zon merah Covid-19.

“Syarikat perlu mengikut terma dan syarat, antaranya pekerja perlu berdaftar dalam aplikasi MySejahtera untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.”

Katanya, sesi libat urus tambahan akan diadakan dengan persatuan industri dan dewan perniagaan berkaitan untuk menyelaras PIKAS. – SM

(Visited 164 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button