Ekonomi

SME Bank perkasa perusahaan sosial, guna ESG dalam kalangan PMKS

SME Bank akan memperkasa perusahaan sosial dan kemampanan perniagaan PMKS susulan pengumuman Belanjawan 2023: Membangun Malaysia MADANI, yang terdiri daripada tiga program baharu berjumlah RM31 juta.

Kerajaan  juga mengumumkan semula RM1.34 bilion untuk kemudahan pembiayaan sedia ada dan tambahan RM9 juta untuk program usahawan semasa di bawah SME Bank.

Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Wira Aria Putera Ismail,
berkata,  mereka mengalu-alukan peruntukan Kerajaan kepada sektor PMKS dalam
Belanjawan 2023 yang juga selaras dengan fokus perniagaan SME Bank iaitu,
memperkasakan Perusahaan Sosial dan guna pakai Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus
(ESG) dalam kalangan PMKS bagi tahun ini.

Katanya, sebanyak RM20 juta diperuntukan di bawah Skim Pembiayaan Perusahaan Sosial yang bertujuan membangun dan memperkukuh perusahaan sosial, untuk modal kerja dan pembelian aset.

“Manakala, RM1.0 juta akan disediakan di bawah Skim Juara Lestari, sebuah program pembangunan kapasiti bertujuan untuk menambah bilangan perusahaan sosial yang diakreditasi, melalui anak syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR).”

“Selain perusahaan sosial, SME Bank juga akan memberi tumpuan untuk memudahkan guna pakai prinsip ESG dalam kalangan usahawan PMKS melalui Skim Insentif Kelestarian bernilai RM10 juta.

“Kemudahan ini selaras dengan agenda kemampanan Kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-12 untuk menuju ke arah ekonomi rendah karbon dan membangunkan persekitaran perniagaan yang mampan,” ulas Aria.

Skim Insentif Kelestarian ialah program intervensi berstruktur dengan geran untuk menyokong usahawan mengguna pakai ESG dalam operasi perniagaan mereka. Sektor PMKS perlu segera bergerak ke arah agenda kemampanan bagi mengembangkan rangkaian perniagaan dan mendapatkan bantuan kewangan yang menekankan aspek ESG.

Enam daripada kemudahan pembiayaan sedia ada SME Bank juga diumumkan semula yang membolehkan pihak Bank untuk terus menawarkan program pembiayaan holistik untuk PMKS.

Kemudahan ini termasuk Jaguh Serantau (RM165 juta), Dana Kemampanan PMKS Bumiputera (Pembiayaan Lestari Bumi) (RM160 juta), Dana Pemantapan Automasi (Geran Padanan PEMERKASA) (RM160 juta), Dana Pemangkin Ekosistem IBS (IBS2.0) (RM165 juta), Dana Pemberdayaan Usahawan Muda (YEF 2.0) (RM90 juta) dan SME Recapitalisation Fund (RM600 juta). SME Bank akan terus menawarkan kemudahan pembiayaan yang  diumumkan semula di bawah Belanjawan 2023 kepada usahawan yang layak.

Bersama-sama dengan kemudahan pembiayaan dan program pembangunan kapasiti yang baharu diumumkan, SME Bank juga memperoleh dana tambahan untuk inisiatif beyond-financing sedia ada sebanyak RM4 juta untuk Business Export Program bagi memperkasakan PMKS Bumiputera merentasi sempadan dan RM5 juta untuk Program Pembangunan Kapasiti Vendor (PPKV2.0) dalam menyokong vendor untuk lebih kompetitif, mampan dan berdaya tahan.

Belanjawan 2023 merupakan belanjawan terbesar dalam sejarah, dengan jumlah keseluruhan RM388.1 bilion yang bertujuan untuk memajukan rakyat, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), inisiatif hijau, dan kemajuan teknologi digital.

PMKS yang berminat dengan kemudahan kewangan dan program latihan keusahawanan yang disediakan oleh SME Bank boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 603-26037700 atau layari laman web rasmi di www.smebank.com.my. – SM

(Visited 285 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button