Luar Negara

Mangsa gempa bumi Syria kejar sukarelawan Serantau Muslim

Sukarelawan Serantau Muslim berdepan detik cemas apabila dikejar oleh mangsa gempa bumi di dalam negara Syria.

Kejadian itu berlaku ketika Serantau Muslim menyampaikan bantuan kecemasan, dekat Jindires iaitu sebuah lokasi yang terjejas teruk akibat gempa bumi.

Namun selepas bertemu, sukarelawan Serantau Muslim dimaklumkan oleh seorang penterjemah, mereka mengejar dengan tujuan meminta pertolongan.

Ketua delegasi Serantau Muslim, Mohd Halim Mohd Nor berkata, difahamkan ada dari kalangan mereka tidak mempunyai tempat berlindung selepas rumah mereka runtuh akibat gempa bumi.

 

“Mereka kejar kami untuk meminta pertolongan, mereka merayu supaya dapat membantu mereka untuk mendapatkan sebuah khemah untuk mereka berteduh dan meneruskan hidup.

“Ramai NGO yang membantu menyumbang khemah, namun ada dari kalangan mereka tidak bernasib baik,” katanya kepada pemberita.

Jelasnya, mereka terhadap hidup dalam keadaan kesejukan tanpa tempat berteduh dan ada ketika mereka menumpang di khemah-khemah milik keluarga lain.

Serantau Muslim bertindak segera dengan meluluskan pembelian khemah buat beberapa buah keluarga.

“Selepas mendapat tahu nasib mereka, kami terus bersetuju untuk membeli khemah buat mereka. Wakil kami disini segera membeli dan membina khemah buat keluarga tersebut,” jelasnya.

Mohd Hakim yang juga Pengerusi Serantau Muslim berkata, beliau sangat sebak kerana masih ramai mangsa gempa bumi di Syria tidak mendapat sumbangan terutama keperluan asas seperti khemah dan bekalan makanan.

Katanya, oleh sebab itu, Serantau Muslim bersama Gabungan Prihatin Turki-Syria (GPTS) terus berusaha mengumpul sumbangan dan membantu mangsa gempa bumi di kedua-dua belah negara.

“Gabungan lebih 30 badan bukan kerajaan (NGO) ini telah berjaya mengumpul jutaan ringgit dan mensasarkan sumbangan sebanyak RM10 juta.

“Pasukan kami tidak henti-henti berkhidmat di sana, kini memasuki fasa gelombang kedua misi bantuan,” katanya. – SM

(Visited 235 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button