Nasionalpilihan

Setiap negeri akan dibangunkan sebuah litar drag bagi peminat sukan bermotor – PM

Bagi memperkasakan program pembangunan sukan pemotoran di negara ini, Kerajaan bercadang untuk membina sekurang-kurangnya sebuah litar drag untuk drag race di setiap negeri.

Ujar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, cadangan tersebut akan dimasukkan dalam Bajet 2023 yang akan dibentang pada Oktober ini.

“Setakat ini sudah ada dua buah litar drag yang dibina iaitu di Terengganu dan Melaka.

“Apabila litar tersebut siap kelak, sudah tentu akan memberi peluang kepada golongan belia untuk membabitkan diri lebih serius dalam sukan permotoran mengikut saluran yang betul,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap dalam Program RXZ Members 4.0 di Terengganu International Drag Strip, Gong Badak, Kuala Terengganu.

Dalam masa sama, Ismail juga menyeru golongan muda supaya menyertai MyFit@Motorsports 2022 yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan, satu program pembangunan pemotoran peringkat akar umbi yang melibatkan pembangunan sukan motosikal dan kereta.

“Sejak semalam, Lebuh Raya Pantai Timur dan jalan-jalanutama di negeri ini dilaporkan dipenuhi dengan penunggang RXZ yang datang dari seluruh negara.

“Bagaimana pun, dalam kegembiraan untuk menghadiri program ini, difahamkan salah seorang peserta dari Selangor telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Al-Fatihah,” lafaznya.

Sehubungan itu, Ismail mengingatkan supaya semua peserta agar berhati-hati di jalan raya dan  jangan sampai keseronokan dan keterujaan ini berakhir dengan tragedi.

“Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat AllahSWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama sempena Perhimpunan RXZ Members 4.0 Tahun 2022.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada penganjur Kelab RXZ Members Official Malaysia kerana berjaya himpunkan ribuan pemilik motosikal RXZ dari seluruh negara yang kali terakhir diadakan pada 2019,” katanya.

Ismail turut kagum melihat sokongan dan penyertaan luar biasa anak-anak muda di Terengganu International Drag Strip pada hari ini.

Ada yang sanggup meredah hujan dan panas menunggang ‘jentera retro’ masing-masing sama ada secara berseorangan atau berkonvoi.

(Visited 490 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button