Nasional

Seremban kini sudah jadi bandar raya

YANG Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan mencemar duli mengisytiharkan Seremban sebagai bandar raya dan merasmikan Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di sini, malam ini.

Turut mencemar duli berangkat ke majlis berkenaan, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud bersama kedua anakanda baginda, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al´Abidin.

Turut hadir, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin serta barisan pimpinan Negeri Sembilan.

Upacara istiadat pengisytiharan bermula apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menyerahkan Surat Cara pengurniaan taraf bandar raya kepada Tuanku Muhriz sebelum baginda menyerahkannya kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Baginda kemudian mengisytiharkan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) digabungkan menjadi MBS berkuat kuasa 1 Jan lalu.

Istiadat itu kemudiannya diteruskan dengan bacaan Surat Cara pelantikan Datuk Zazali Salehudin sebagai Datuk Bandar Seremban yang pertama oleh Aminuddin di hadapan Tuanku Muhriz.

Zazali kemudiannya melafazkan penerimaan jawatan serta mempersembahkan ikrar setia.

Tuanku Muhriz kemudian berkenan mengalungkan kalung jawatan serta menyerahkan Cokmar kepada Zazali.

Pada 12 Nov 2008, kerajaan negeri telah meluluskan cadangan untuk mencantumkan MPS dan MPN sebagai satu entiti, selain menaikkan taraf kepada MBS.

MBS telah memulakan operasinya sebagai satu entiti bermula pada 1 Jan 2020.

Aminuddin ketika ditemui pemberita berkata dengan pembentukan MBS ini diharapkan bandar Seremban dapat mendepani revolusi perubahan dunia moden tanpa sempadan dan mengekalkan keindahan bandar yang bersih dan hijau.

“Bagi pengukuhan pembangunan yang mampan di daerah Seremban, antara strateginya ialah membentuk komuniti masyarakat yang berdaya saing dari pelbagai aspek.

Aminuddin berkata kerajaan negeri mempunyai keyakinan pewujudan MBS ini akan memberikan impak positif bagi merangsang perkembangan ekonomi dan pembangunan masyarakat dengan menyentuh pelbagai aspek sekali gus mendukung dasar yang telah direncanakan oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

“Berkat sokongan dan dorongan daripada semua pihak, segala yang dirancang akan berjalan atas landasan yang sempurna kedudukannya, dipermudahkan urusan pentadbirannya dan berakhir dengan natijah yang baik,” katanya. – BERNAMA

(Visited 272 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button