Politik

Pas dijangka bertanding 13 kerusi di Negeri Sembilan

PAS dijangka bertanding di 13 daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) di Negeri Sembilan, lapor Sinar Harian.

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha berkata keputusan pembahagian kerusi itu sudah dipersetujui dalam kalangan parti komponen Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan.

“PAS dijangka diberikan sebanyak 13 kerusi DUN manakala Bersatu lebih sedikit daripada itu namun jumlah sebenar Bersatu dan Gerakan bertanding akan diumumkan oleh Pengerusi PN negeri, tidak lama lagi.

“Bagaimanapun, kerusi mana akan ditandingi PAS belum ditentukan sehingga hari penamaan calon,” katanya.

Semalam Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan gabungan itu akan bertanding di kesemua 245 kerusi DUN pada PRN yang dijangka bakal berlangsung dalam masa terdekat.

Sementara itu, Rafiei yang juga Timbalan Pengerusi PN negeri berkata parti itu menyenaraikan seramai 30 calon kepada pucuk pimpinan tertinggi.

“Daripada 13 kerusi DUN itu, kita (PAS) telah hantar lebih kurang 30 nama sebagai calon.

“Pada asasnya tiga nama calon bagi setiap DUN namun ada beberapa DUN hanya menghantar satu nama,” katanya.

Beliau berkata individu yang dicalonkan mempunyai pelbagai latar belakang termasuk golongan profesional selain mereka yang bertanding di kerusi Parlimen pada PRU-15 lalu.

“Keputusan sama ada mereka terpilih sebagai calon akan diputuskan oleh Majlis Syura PAS,” katanya.

Rafiei tidak menolak kemungkinan pemimpin Muafakat Nasional (MN) turut dicalonkan mewakili PN pada PRN yang dijangka diadakan sekitar Ogos tahun ini.

(Visited 188 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button