PRK

Sembilan anggota polis mengundi awal, esok

SEMBILAN pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, yang melibatkan anggota polis akan mengundi esok (14 Jan).

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun berkata kesemua mereka akan mengundi di Bilik Gerakan, Balai Polis Membakut di sini.

“Pusat pengundian awal di Bilik Gerakan, Balai Polis Membakut dibuka mulai pukul 8.00 pagi hingga 12 tengah hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhar berkata proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen calon serta Pemerhati Pilihan Raya yang dilantik SPR.

Menurutnya SPR juga akan menyiarkan proses pengundian berkenaan secara langsung atau ‘live streaming’ menerusi Facebook SPR.

Beliau berkata semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.

“Pengiraannya akan dibuat pada hari pengundian pada 18 Jan di pusat pengiraan undi berkelompok di Bilik Mesyuarat 2, Pejabat Daerah Beaufort,” katanya.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin.

SPR menetapkan hari mengundi PRK Kimanis pada 18 Jan.

Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) – Bongawan dan Membakut – dengan jumlah 29,664 pemilih layak mengundi, termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir yang berada luar negara.

Pemilih terdiri daripada 14,800 lelaki dan 14,864 perempuan dengan DUN Bongawan mempunyai 16,273 pemilih dan DUN Membakut 13,391 pemilih. –  BERNAMA

(Visited 54 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button