PRK

Armada optimis Warisan mampu tewaskan BN

ANGKATAN Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) optimis calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang mampu menewaskan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis 18 Jan ini.

Ketuanya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata berdasarkan prestasi kerajaan Sabah ketika ini, tidak ada sebab pengundi di Parlimen Kimanis akan menolak Warisan yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Banyak pembaharuan di Sabah sejak Warisan mengambil alih kerajaan negeri dan ini sudah tentunya memberi impak baik di Kimanis dan insya-Allah Warisan mampu memperoleh kemenangan yang baik.

“Saya juga sudah beberapa kali ke Kimanis dan saya lihat semua pihak bertungkus lumus membantu Warisan untuk menang,” katanya kepada pemberita selepas program Rapat Umum Kelantan bersama beliau di Kota Bharu.

Pada PRK Kimanis 18 Jan ini, Karim, 67, akan dicabar calon BN Datuk Mohamad Alamin, 48.

Mengulas mengenai majlis itu, Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata Kelantan merupakan negeri pertama diadakan jelajah rapat umum itu sebelum ke seluruh negara selepas ini.

“Saya akan ke seluruh negara untuk bertemu anak-anak muda untuk mendengar suara mereka dan Armada akan menyusun gerakan yang lebih tersusun untuk tahun ini,” katanya.

Pada majlis itu, Syed Saddiq turut menjawab beberapa soalan mengenai situasi politik semasa menerusi sesi dialog.
– BERNAMA

(Visited 108 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button