Bestinet Kaut RM1.2 Bilion Dari KDN Biar Pun Tidak Ditandatangani Sejak 2018?
SISTEM Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) adalah sebuah sistem yang diperkenalkan Bestinet Sdn Bhd dan berpotensi mengaut RM1.2 bilion untuk kontrak dalam tempoh 6 tahun.
Caranya, mana-mana warganegera Bangladesh yang ingin bekerja di Malaysia harus mendaftar menerusi FWCMS dan perlu membayar RM100 untuk kos pengurusan dan persediaan.
Namun di sebalik operasi syarikat tersebut yang nampak bersih dan professional, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) pada 2022 membongkar beberapa penemuan yang memeranjatkan jiwa pejuang integriti.
Tidak Pernah Ditandatangani Sejak 2018
Menurut LKAN 2022, Bestinet mendapat Surat Setuju Terima (SST) bertarikh 12 Januari 2018 pada 15 Januari 2018 dan sepatutnya perlu ditandatangani selewat-lewatnya pada 14 Mei 2018.
Namun sehingga 2023, perjanjian tersebut tidak pernah ditandatangani dan pada 26–28 Oktober 2023, barulah Bengkel Pemurnian dan Rundingan Perjanjian FWCMS bersama pihak syarikat dan Kerajaan dibuat.
Perkara ini tidak termasuk penemuan dua dokumen pengenalan (ID) berperanan sebagai Super Admin KSM bagi FWCMS, bukan pegawai KSM, atau kebobrokan perjanjian berkait sistem FWCMS bernilai RM1.049 bilion.
Laporan Kurang Enak
Sejarah serta laporan media dalam tempoh lima tahun mencatatkan banyak berita kurang enak berkait sistem FWCMS dari Bestinet yang diasaskan Mohd Amin Abdul Nor, seorang warganegara Bangladesh.
Misalnya pada Februari 2022, terdapat ‘whistleblower’ yang mendakwa Bestinet terlibat dalam mengawal pemilihan 25 syarikat dari Bangladesh untuk membawa masuk pekerja dari negara itu ke Malaysia.
Namun tegas mereka kepada media, Bestinet hanya sediakan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) dan tidak terlibat sebagai agensi pengambilan pekerja asing.
Pada April 2022, Utusan Malaysia melaporkan FWCMS perlu disemak semula kerana gagal menjalankan fungsinya dengan baik selain menerima aduan pelbagai pihak.
DS Anwar Ibrahim Lantang Menegur
Hal ini mendapat perhatian Datuk Seri Anwar Ibrahim dan biar pun belum menjadi Perdana Menteri ketika itu, demi prinsip integriti, Jun 2022 saksikan SPRM digesa buat siasatan.
Sehubungan itu, SPRM menyiasat beberapa individu pada Julai termasuk Pengasas Bestinet, Mohd Amin Abdul Nor yang berasal dari Bangladesh dan telah pun menetap di Malaysia.
Namun selepas Ogos 2022, media tidak dihidangkan dengan keputusan susulan SPRM dan sehingga November 2023, FWCMS ciptaan Bestinet dilaporkan masih bermasalah.
RM28.5 Bilion Hilang Kerana Pekerja Asing
Pada bulan yang sama, Bank Negara Malaysia (BNM) turut mendedahkan sebanyak RM28.5 bilion atau bersamaan RM78 juta sehari mengalir keluar sepanjang tahun lalu (2022).
Ia berpunca daripada aktiviti kiriman wang pekerja warga asing kepada keluarga di negara masing-masing, yang masuk bekerja di Malaysia menggunakan laluan FWCMS.
Malah agak mengejutkan kerana sehingga 15 Februari 2024, Jabatan Imigresen merekodkan seramai 2,123,049 pekerja asing dikenal pasti aktif dan berdaftar.
Memandangkan tarikh luput kontrak tersebut semakin tiba, netizen berpendapat Kerajaan perlu mengkaji semula kebanjiran pekerja asing di Malaysia selain tidak diuruskan syarikat yang terpalit dengan masalah ‘keraguan’.
Namun demikian keputusan akhir terletak pada tangan Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Dalam Negeri serta prinsip integriti Anwar yang dipamerkan pada Jun 2022.
Bestinet Tiba-Tiba Cakna Soal Kebajikan & Hak Asasi Pekerja Asing
Namun demikian yang menariknya, pada 24 April 2024, Bestinet tiba-tiba ditemubual NST dan menurut laporan S. Joan Santani, syarikat IT itu kini prihatin soal kebajikan dan hak asasi pekerja asing.
Berdasarkan komen awam, pembaca berharap keprihatinan tersebut bukanlah timbul kerana kontrak SST Bestinet Sdn Bhd sepatutnya berakhir tidak lama lagi.
Hal ini demikian kerana kali terakhir Bestinet ditemubual pada 2 Julai 2018 oleh Harian Metro, Bestinet menegaskan bahawa mereka hanya penyedia sistem penyelesaian berpusat.
Namun demikian, rakyat Malaysia yang khuatir dengan permasalahan pekerja asing ke Malaysia sudah tidak perlu salahkan Bestinet atau FWCMS lagi selepas ini.
Hal ini kerana kontrak syarikat tersebut bukan hanya sah bermula 1 April 2018 sehingga 31 Mei 2024 malah tiada kesalahan jika Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan REFORMASI.
Tonton Video Di Bawah
@suaramerdekamy Untung ler Bestinet.. kontrak tak sign bertahun-tahun pun boleh buat bisnes berbilion. Mujur PMX pernah sedar kes ni awal 2 tahun lalu!
Analisis adalah berdasarkan sumber-sumber berikut:
- LKAN 2022: Sistem pengurusan pekerja asing KSM tidak memuaskan | Astro Awani
- Pengurusan Pekerja Asing Melalui Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) dan Foreign Workers Centralized Management System (FWCMS) | Jabatan Audit Negara
- Bestinet bukan agensi pengambilan pekerja asing | Harian Metro
- Semak semula sistem FWCMS, gagal urus permohonan pekerja asing | Utusan Malaysia
- Anwar Ibrahim desak SPRM siasat penuh UKSB dan Bestinet | Astro Awani
- SPRM siasat Bestinet isu pemilihan 25 syarikat ambil pekerja Bangladesh | MalaysiaKini
- Malaysia hilang RM28.5 bilion | Kosmo!
- Jumlah pekerja asing di Malaysia kini lebih 2.1 juta | Berita Harian