
Awas musang berbulu ayam, francais jadi-jadian!
HARI ini Pernas International Franchise Festival 2025 (PIFF2025) berlangsung, selama tiga hari. Pernas adalah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menganjurkan acara berkenaan.
Acara ini diadakan Dewan 4 dan 5, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan tema, ‘Brew Your Success: Empowering Entrepreneurs’ akan menjadi platform bertaraf dunia untuk menghimpunkan usahawan, jenama francais, dan pemain utama industri kopi serta kafe.
Menurut Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainuddin, festival julung kali ini bakal membuka ruang bagi para peserta untuk memperluaskan rangkaian, menimba ilmu, dan meneroka peluang dalam industri francais, khususnya sektor kopi dan kafe.
Beliau positif PIFF 2025 ini dapat menarik lebih 30,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya, dengan potensi menjana pendapatan melebihi RM2 juta, sekali gus membuktikan kekuatan dan daya tarikan sektor francais di Malaysia.
Bagi para pengunjung pula mereka perlu berhati-hati kerana di dalam pameran banyak francais jadi-jadian yang mengambil bahagian. Mereka ibarat musang berbulu ayam yang sedang mencari mangsa untuk diperdaya.
Francais jadian, merujuk kepada perniagaan yang mengaku sebagai francais tetapi sebenarnya tidak memenuhi syarat sebenar francais.
Perniagaan yang beroperasi seolah-olah seperti francais, tetapi sebenarnya tidak berdaftar atau tidak memenuhi peraturan francais yang sah. Ini boleh menjadi perangkap kepada pelabur atau usahawan yang ingin membeli hak perniagaan tersebut.
Bahaya francais jadian kerana ia tiada pendaftaran yang sah. Francais sebenar mesti didaftarkan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Kos Sara Hidup (KPDN).
Francais jadian juga tidak mempunyai lesen sah, menyebabkan pelabur terdedah kepada risiko undang-undang.
Model juga tidak terjamin, kerana francais tulen mempunyai model perniagaan yang terbukti berjaya, tetapi francais jadian sering tidak mempunyai sistem yang kukuh.
Risiko juga tinggi untuk mengalami kerugian kerana sistemnya mungkin tidak berkesan dan dari segi perundangan mereka yang membeli hak perniagaan tidak dilindungi kontrak yang sah.
Pemilik francais jadian ini juga boleh menukar terma atau menarik diri tanpa memberi pampasan kepada pelabur.
Bayaran lesen juga meragukan dan ada kes di mana pelabur membayar yuran permulaan tinggi, tetapi tidak mendapat sokongan perniagaan seperti yang dijanjikan.
Francais jadian tidak menyediakan latihan, bimbingan, atau strategi pemasaran seperti francais sebenar.
Cara mengelak francais jadian adalah dengan menyemak dengan KPDN kerana semua francais mesti berdaftar dengan kementerian berkenaan.
Sebelum menandatangan kontrak perlu dibaca dengan teliti atau lebih baik dirujuk kepada peguam terlebih dahulu, selain membuat kajian jenama berkenaan.
Francais jadian boleh menjadi perangkap kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan dengan sistem francais. Jangan mudah terpengaruh dengan janji keuntungan besar dalam masa singkat. Sentiasa buat kajian, semak pendaftaran, dan pastikan perjanjian yang sah sebelum melabur.
Bagi mereka yang sudah terkena mereka perlu menuntut keadilan di mahkamah iaitu dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat dan pemilik jenama berkenaan.
Dalam pada itu kerajaan melancarkan Dasar Francais Negara 2030, untuk memberi fokus kepada pembangunan usahawan francais sahaja akan ditambah baik kepada penggubalan DFN2030 yang merangkumi keseluruhan ekosistem industri francais.
Namun dalam keghairahan itu kerajaan juga perlu memastikan orang ramai tidak menjadi mangsa penipuan pihak yang tidak bertanggungjawab.