Nasional

KPKT lulus RM4.58j tingkat infrastruktur awam, sosio ekonomi Gerik

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM4.58 juta kepada penduduk Gerik ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Pintu Gerbang Kampung Baru Batu Dua, Daerah Gerik, Perak dalam lawatan kerja bersempena Program Sentuhan Kasih KPKT ke Gerik pada pagi ini.

Dalam lawatan tersebut, beliau telah turun padang meninjau Kampung Air Kala, Pasar Awam Gerik, Kampung  Baru Batu Dua dan Kampung Kuala Rui bagi projek BP.1 di bawah Majlis Daerah Gerik (MDG) dan Projek Kampung Baru Cina untuk menambah baik infrastruktur awam dan kerja-kerja pengindahan kawasan.

Peruntukan sebanyak RM4.58 juta tersebut meliputi 22 buah projek yang akan dilaksanakan oleh Majlis Daerah Gerik dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.7 juta (7 projek) disalurkan kepada MDG manakala RM2.88 juta (15  projek) disalurkan kepada JPKK di Daerah Lenggong, Daerah Gerik dan Daerah Pengkalan Hulu bagi pelaksanaan projek-projek seperti:

  1. Menyelenggara dan membaik pulih Pasar Awam Gerik;
  2. Kerja – kerja pembaikan longkang lama berhampiran Gerai Makan MDG Kampung Baru Batu Dua, Gerik;
  3. Menaik taraf tapak Pasar Malam Gerik;
  4. Kerja – kerja menaik taraf dua (2) unit kolam takungan di Skim Perumahan Taman Angsana (Fasa 2);
  5. Kerja – kerja menaik taraf satu (1) unit kolam takungan di Skim Perumahan Taman Seri Kiara;
  6. Menyelenggara kolam – kolam takungan dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT);
  7. Membina baharu dua (2) unit gerai tidak halal di Medan Selera (Medan Takong dan lain-lain.

“Peruntukan yang diluluskan oleh KPKT ini adalah belanjawan berasaskan prestasi atau “performance-based budget”. Ini bagi memastikan perkhidmatan dan fokus KPKT dalam penambahbaikan infrastruktur awam dapat
terus dipertingkatkan di Daerah Gerik, Lenggong dan Pengkalan Hulu demi keselesaan dan kesejahteraan penduduk setempat,” katanya.

KPKT melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) akan sentiasa bekerjasama dengan PBT di seluruh negara bagi merealisasikan perancangan pembangunan demi meningkatkan mutu perkhidmatan dan kesejahteraan rakyat. – SM

(Visited 21 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button