
Ibu Gadai Barang Kemas Demi Bebaskan Eda Ezrin
TERPAKSA menggadaikan barang kemas milik anak sendiri bukanlah sesuatu yang mudah, namun itulah yang dilakukan oleh Zahara Mamat demi menampung kos guaman bagi membebaskan Eda Ezrin daripada pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda.
Memetik laporan Kosmo!, Zahara menjual barang kemas milik Eda yang dianggarkan bernilai 200,000 baht (lebih RM26,344) untuk menanggung sebahagian daripada kos tersebut.
Menurutnya, jumlah keseluruhan yang diperlukan adalah 500,000 baht (lebih RM65,861), tetapi dia hanya mampu membayar RM26,344 hasil daripada jualan barang kemas tersebut.
“Baki sebanyak 300,000 baht (lebih RM39,516) pula dibayar oleh keluarga mentua Eda bagi memastikan urusan guaman dapat diteruskan,” katanya.
Memandangkan tiada sumber kewangan lain, Zahara tidak mempunyai pilihan selain menjual kesemua barang kemas anaknya. Sejak Eda ditahan di Penjara Wilayah Narathiwat, dia juga membuat keputusan untuk menetap di Tak Bai dan membuka sebuah kedai makan kecil bagi meneruskan kehidupan.
“Saya memang asal dari sini (Thailand). Sejak Eda ditahan pada November lalu, saya pulang dan meneruskan hidup di sini. Kedai makan saya di Kelantan pun sudah ditutup,” ujarnya.
Tambahnya, dengan tinggal di sana, dia berpeluang melawat Eda di penjara setiap hari Khamis dan membawa makanan kegemaran anaknya.
Khamis lalu, Eda Ezrin bersama lima yang lain masih belum dibebaskan dari Penjara Wilayah Narathiwat meskipun telah dilepaskan daripada pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda. Hal ini kerana pihak pendakwaan masih mempunyai tempoh sebulan untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.