
Guna kemudahan komunikasi digital dengan cara positif – Raja Muda Perlis
KOTA KINABALU 9 Mac – Pada era digital yang serba canggih ini, teknologi bukan sekadar alat komunikasi tetapi juga menjadi pemangkin kepada transformasi ilmu dan pembentukan jati diri.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pendidikan masa kini semakin bergantung kepada teknologi digital yang membuka peluang pembelajaran tanpa batasan.
“Oleh itu Saya ingin menegaskan bahawa teknologi harus digunakan sebagai medium untuk memperkukuh nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
“Kejujuran, disiplin, hormat-menghormati serta integriti adalah tunjang kepada kejayaan seseorang individu,” titah baginda di Sekolah Menengah Kebangsaan Bengkongan, Kudat, sempena Eksesais Perlis ke Sabah.
Sehubungan itu, titah baginda gunakanlah media sosial dan teknologi dengan berhemah serta penuh tanggungjawab agar ia menjadi medan yang membawa manfaat dan bukan sebaliknya.
“Dengan kemajuan teknologi digital yang memudahkan transformasi ilmu, Saya percaya anda semua akan menjadi individu yang berdaya saing, berfikiran global, dan mempunyai semangat patriotik yang tinggi,” titah baginda.
Baginda juga bertitah supaya semua manfaatkan setiap peluang yang ada untuk memperkaya pengetahuan, mengasah kemahiran, serta memberikan sumbangan yang signifikan kepada kemajuan negara.
“Saya ingin sekali lagi merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah atas usaha gigih dalam mendidik generasi muda.
“Semoga SMK Bengkongan terus maju dalam melahirkan pelajar yang cemerlang dalam akademik, kokurikulum serta mempunyai jati diri yang kukuh dalam era digital ini,” titah baginda.