fbpx
Nasional

Sarjan Sagadevan telah diseksa secara fizikal dan mental

Pasti ramai tidak ingat atau tidak tahu peristiwa di Jenalik dekat Gerik, Perak yang berlaku kira-kira 19 tahun yang lalu.

Untuk itu saya ceritakan kembali kronologinya.

Pada sebelah pada 2 Julai 2000 saya ada tugasan di Ayer Tawar, ketika saya sedang memandu mencari lokasi tugasan itu, tiba-tiba seorang rakan telah menelefon saya memaklumkan ada kes 100 laras mesingan M16 hilang di Gerik.

Mendengarkan maklumat itu saya terus bergegas ke Gerik untuk mendapat maklumat lebih lanjut. Dari Ayer Tawar ke Gerik mengambil masa perjalanan kira-kira tiga jam dan apabila sampai saya terus mengumpul maklumat.

Ketika itu Kem Askar Wataniah di Gerik telah dikawal rapi oleh tentera. Saya segera menelefon ibu pejabat untuk memaklumkan tentang kejadian itu dan telah diarahkan supaya tidak pulang serta terus melaporkan perkembangan semasa ke ibu pejabat.


Senjata api itu telah dicuri dengan memperdayakan anggota bertugas pada tengah malam bahawa ia diambil bagi tujuan pemeriksaan.

Apabila tersebar maklumat sekumpulan militan telah merampas senjata api dan di Bukit Jenalik, semua menjadi cemas. Jalan raya sepanjang dari Gerik ke Kuala Kangsar penuh dengan sekatan jalan raya oleh polis dan tentera.

Ketika itu juga sedang berlangsung mesyuarat Kabinet di Ipoh yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Melihat situasi itu kebimbangan semakin meningkat kerana dikhuatiri kumpulan itu akan melancarkan serangan bagi membunuh perdana menteri.

Tidak lama selepas itu saya mendapat maklumat pasukan keselamatan telah berjaya mengepung kumpulan itu dan beg mayat mula dihantar ke lokasi kejadian dan saya mula menyusup untuk mendapatkan maklumat.

Satu demi satu sekatan jalan raya saya lepas dan akhirnya tiba di hadapan Sekolah Rendah Kebangsaan Jenalik. Dari dalam kereta saya tinjau tiada pihak keselamatan, saya merancang untuk mendaki bukit berkenaan hingga ke kawasan paling hampir dengan kumpulan militan itu yang ketika itu belum dipastikan Al-Maunah diketuai oleh Mohamed Amin yang juga bekas anggota tentera.

Bagaimanapun sebaik saya keluar dari kereta, tiba-tiba keluar anggota komando yang berconteng muka masing-masing dari dalam semak. Rupa-rupanya anggota tentera kita telah berada di lokasi itu. Saya berpura-pura bertanya arah kerana tersesat, tetapi melihatkan wajah masing-masing sangat serius menyebabkan saya membatalkan niat untuk meneruskan lakonan.

Rupa-rupanya kumpulan pengganas itu telah menahan dua anggota polis yang membuat siasatan selepas menerima aduan bunyi tembakan dari penduduk setempat.

Dua anggota polis  itu ialah Detektif Sarjan Mohd Shah Ahmad dan R. Sagadevan. Seorang lagi yang turut ditahan mereka ialah seorang penjaga durian. Akhirnya selepas diseksa Sagadevan telah dibunuh dengan kejam.

Semoga paparan ini dapat memberi maklumat dan keinsafan kepada kita betapa pentingnya keamanan negara dipelihara serta kegiatan berunsurkan militan dan keganasan dibanteras.

Dipetik dari Facebook PDRM, Sarjan Sagadevan Rajoo dilahirkan pada 7 Mac 1951 di Kuala Muda, Kedah. Beliau mula berkhidmat dalam Pasukan polis pada 5 Mei 1974 sebagai Konstabel dan menjalani latihan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Pada 2 Julai 2000, ketika beliau bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar, Perak, beliau telah melakukan tugas penyamaran untuk menyiasat Bukit Jenalik, Sauk kerana mendapat maklumat tentang sekumpulan penjenayah bersenjata api yang bersembunyi di kawasan berkenaan. Malangnya, Sarjan Sagadevan bersama Detektif Sarjan Mohd Shah Ahmad telah ditawan oleh kumpulan Al-Maunah yang diketuai oleh Mohamed Amin. Kumpulan ini telah menyamar sebagai anggota tentera berpangkat Kapten dan Leftenan Kolonel sebelum melarikan sejumlah alat komunikasi dan senjata api dari kem tentera di Grik.

Sarjan Sagadevan telah diseksa secara fizikal dan mental sepanjang menjadi tawanan akibat tidak memberikan kerjasama kepada kumpulan Al-Maunah untuk membocorkan rahsia-rahsia sulit kerajaan. Beliau akhirnya telah terkorban akibat ditembak di bahagian kepala oleh kumpulan Al-Maunah berkenaan.

Bagi mengenang jasa, pengorbanan dan semangat juang mendiang Sarjan Sagadevan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke VII, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail telah berkenan mengurniakan anugerah Darjah Kebesaran dan Bintang Kehormat PGB kepada beliau pada pada 27 Disember 2001. Selain itu, mendiang Sagadevan turut dinaikkan pangkat kepada Sarjan secara medan (field promotion) oleh Ketua Polis Negara pada ketika iaitu Tan Sri Norian Mai.

Kredit Facebook PDRM

Show More

Related Articles

Back to top button