fbpx
NasionalPolitik

Agong perlu bertindak

MUNGKIN telah tiba masanya Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk campur tangan bagi menyelesaikan isu mencemar maruah negara termasuk terbaharu, menghina Jalur Gemilang.

Ketiadaan tindakan tegas menyebabkan lebih ramai individu yang mempunyai ‘masalah’ dengan negara ini berterusan melakukan kebiadapan.

Sehingga kini, pihak polis masih ‘membisu’ -seolah-olah segala tindak-tanduk yang dilakukan walaupun merobek maruah negara, bukan lagi kesalahan besar jika dibuat ‘permohonan maaf.’

Pada siapa lagi harapan rakyat dapat disandarkan? Kerajaan baharu yang diharap menjaga kedaulatan negara, kini semakin hanyut dibawa arus ideologi yang selama ini terhalang.

Unsur-unsur luar yang sentiasa menunggu masa untuk mencemar kesucian Perlembagaan Persekutuan, semakin hari semakin terserlah penglibatan mereka dalam tampuk kekuasaan.


Melihat kepada gambar-gambar yang tular dalam media sosial, penghinaan ke atas Jalur Gemilang pada majlis perasmian kejohanan sebuah badan sukan, bukanlah yang pertama kali dilakukan.

Malah, kebanyakan majlis tersebut turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin yang menerajui kepemimpinan negara pada hari ini.

Walaupun telah berlarutan, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih gagal menyelesaikan kemelut yang membelenggu ini.

Tindakan tegas dan drastik perlu bagi meyakinkan rakyat bahawa negara kita, Malaysia benar-benar mengamalkan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Jika benar ini yang sedang berlaku, Yang di-Pertuan Agong sebagai benteng terakhir rakyat, wajar bertindak demi ‘menyelamatkan’ negara.

(Visited 3 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button