Ekonomi

Santan lancar menu baharu dalam penerbangan AirAsia

SANTAN terus meningkatkan pengalaman menjamu selera dalam penerbangan AirAsia dengan melancarkan menu baharu seperti kopi istimewa melalui teknologi kering-beku pertama seumpamanya dan Nasi Lemak Pak Nasser berasaskan tumbuhan.

Para tetamu AirAsia kini boleh menikmati kopi unik di dalam penerbangan mereka dengan Santan 92′ Signature Blend dihasilkan oleh juara pemanggang Santan yang telah memperoleh penarafan 92 mata yang mengagumkan daripada Coffee Review, halaman Panduan Kopi Terkemuka di Dunia.

Bukan sekadar kopi biasa, Santan 92′ Signature Blend telah diinovasikan dengan teknologi SuperCooling Santan tersendiri untuk mengekalkan rasa dan aroma yang luar biasa. Bebas daripada sebarang pengawet tambahan, adunanya mengatasi kopi segera biasa dan pod, menjadikannya minuman sempurna pada sebarang ketinggian dan suhu, sesuai untuk memanaskan badan di dalam kabin yang sejuk atau sebagai minuman berais yang menyegarkan dalam mana-mana penerbangan.

Kopi istimewa ini juga tersedia sebagai pilihan Americano, Caffe Latte, dan Caffe Mocha dalam semua penerbangan AirAsia dan AirAsia X. Biji kopi ini juga diperoleh secara lestari dari Guatemala, Brazil, dan Indonesia, yang bukan sahaja menawarkan kualiti dan rasa yang luar biasa malah sejajar dengan usaha kelestarian syarikat penerbangan itu.

Selaras dengan usaha ini, Santan melancarkan pilihan menu berasaskan tumbuhan dengan versi baharu Nasi Lemak Pak Nasser. Hidangan istimewa dengan sentuhan berasaskan tumbuhan ini menampilkan nasi ungu dengan kari vegetarian serta protein berasaskan tumbuhan, terung, kacang buncis dan kentang. Ia juga didatangkan dengan sambal bawang, kacang tanah rangup, dan kelapa, untuk menawarkan pilihan menu yang lebih lestari dan lebih hijau kepada para tetamu.

Pengurus Besar Santan, Catherine Goh berkata, mereka teruja untuk merevolusikan pengalaman menjamu selera dalam penerbangan dengan memperkenalkan Santan 92′ Signature Blend, kopi istimewa yang inovatif, dan Nasi Lemak Pak Nasser berasaskan tumbuhan yang menyelerakan.

“Kami telah menghidangkan hampir sejuta cawan kopi dalam setahun secara purata dan kira-kira 29 juta nasi lemak merentasi 130 destinasi AirAsia, dan berharap untuk membolehkan berjuta-juta tetamu AirAsia menikmati biji kopi terbaik dunia di udara di samping memenuhi peningkatan permintaan untuk pilihan menu yang inovatif dan lestari,” katanya.

Santan kekal komited untuk menyediakan kualiti tertinggi dengan nilai terbaik. Kopi istimewa dan Nasi Lemak Pak Nasser berasaskan tumbuhan ini dijual pada harga yang berpatutan bermula daripada RM9 secawan dan RM16 untuk hidangan pra-tempahan. Para tetamu dinasihatkan untuk membuat tempahan awal bagi memastikan ketersediaan dan keutamaan sajian, yang boleh dibuat sehingga empat jam sebelum waktu perlepasan yang dijadualkan. – SM

(Visited 160 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button