Nasional

Rupa sama, tapi bukan air milo

SIAPA yang pernah membuat pesanan untuk minum air milo atau nescafe di kedai makan, tapi bila dihidang ialah air yang mempunyai rupa sama, cuma kualitinya berbeza kerana menggunakan jenama lain.

Perkara tersebut kini berada di bawah tinjauan  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selepas menerima aduan daripada pengguna.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, perlakuan itu dengan jelas menunjukkan penggunaan perihal dagangan palsu pada barangan atau makanan yang ditawarkan oleh peniaga atau restoran.

“Sebagaimana sedia maklum, penyataan pada menu makanan sama ada di meja atau di dinding restoran adalah satu bentuk perihal dagangan yang dirujuk oleh pengguna untuk mendapatkan maklumat sebelum memesan sesuatu makanan dan minuman.

“Perihal dagangan palsu dan mengelirukan yang diberikan kepada pengguna adalah merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Menurut Iskandar Halim, sejak 7 Oktober lalu, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan ke atas 881 premis kedai makan dan restoran di seluruh negara dan telah menghasilkan 2 kes di bawah seksyen
5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 kerana menggunakan perihal dagangan palsu iaitu mengguna perihal ‘Milo’.

Jelasnya, pemeriksaan ini diteruskan bagi memastikan semua premis restoran atau kedai makan mematuhi arahan yang dikuatkuasakan dan seterusnya melahirkan peniaga yang beretika.

Iskandar Halim mengingatkan premis restoran atau kedai makan mengenai pematuhan dan sekiranya didapati melakukan kesalahan di bawah seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011, dimana pemilik tersebut boleh didenda tidak melebihi RM250,000.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada KPDNHEP dengan melaporkan aduan berkaitan perkara tersebut melalui portal eaduan.kpdnhep.gov.my atau di talian 1-800-886-800 atau Whatsapp ke 019-2794317.

Aduan boleh juga dibuat dengan talian 03-88826088 di Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) atau hadir sendiri ke mana-mana pejabat KPDNHEP yang berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil. -SM

(Visited 102 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button