Nasional

Runtuhan kondominium dalam pembinaan: Pekerja warga asing terperangkap

KUALA LUMPUR, 14 Feb — Seorang pekerja binaan terselamat manakala seorang lagi terperangkap, selepas sebahagian struktur kondominium 38 tingkat yang dalam pembinaan di Taman Desa, Jalan Klang Lama di sini, runtuh hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, sebahagian tingkat enam kondominium dalam pembinaan itu runtuh, ketika dua pekerja lelaki dipercayai warga Bangladesh berada di situ.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Nordin Pauzi berkata seorang mangsa yang ditemui di tingkat satu runtuhan, dibawa keluar pukul 5.15 petang.

“Mangsa kedua masih terperangkap dan pihak bomba sedang menjalankan operasi untuk membawa keluar mangsa.

“Setakat pukul 8 malam, operasi membawa keluar mangsa sedang dilakukan dan anggota bomba sedang berkomunikasi dengan mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Beliau berkata berdasarkan maklumat daripada pihak syarikat pembinaan, hanya dua mangsa terlibat dalam insiden itu.

“Pihak bomba masih mengenal pasti punca sebenar kejadian dan struktur bangunan ketika ini, sedang dinilai.

“Hanya anggota yang mempunyai kepakaran sahaja dibenarkan masuk, untuk operasi menyelamat,” katanya.

Nordin berkata seramai 150 orang daripada pelbagai agensi termasuk bomba dan polis, dikerahkan ke lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang terperangkap.

“Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan,” katanya.

— BERNAMA

(Visited 102 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button