NasionalUncategorized

Konkrit lebuh raya dalam pembinaan runtuh, 2 pekerja cedera

Tiga pekerja pembinaan cedera selepas konkrit di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) berhampiran susur keluar Kota Damansara yang sedang dalam pembinaan runtuh di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.14 malam tadi.

“Sebanyak sembilan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Dua mangsa merupakan pekerja warga Bangladesh berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun. Kesemua mereka dilaporkan sedang melakukan kerja di bawah struktur tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Norazam, berdasarkan laporan awal, runtuhan konkrit yang sedang dalam pembinaan itu telah runtuh dari ketinggian 12 meter menyebabkan tiga pekerja yang sedang melakukan kerja di bawah struktur berkenaan cedera.

Tambahnya, kesemua mangsa bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.

Sementara itu, Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Sdn. Bhd. (Prolintas), pemaju bagi projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) mengesahkan berlaku insiden perancah besi atau ‘scaffolding’ jatuh di dalam kawasan tapak pembinaan lebuh raya DASH itu.

PROLINTAS turut mengesahkan dua pekerja warga Bangladesh yang cedera telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan.

‘’Insiden tidak membabitkan pengguna lebuhraya atau orang awam kerana ia berlaku di dalam kawasan pembinaan yang bertutup. Pasukan Emergency Response Team (ERT) DASH telah berada di tapak kejadian untuk mengawal trafik dan mengalihkan perancah besi yang terlibat.

‘’Sehubungan dengan itu, arahan pemberhentian kerja di tapak pembinaan telah dikeluarkan dengan serta merta. Pihak pemaju dan kontraktor utama terlibat akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berwajib dalam melakukan siasatan,’’ kata Prolintas dalam kenyataan.

Pada 25 Mac lalu, pengguna laluan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala Ampang gempar apabila sebongkah konkrit berada lorong tengah jalan raya itu selepas Hillview pagi ini dipercayai jatuh dari sebuah lori yang membawanya.

Beberapa hari sebelum itu, tiga pekerja warga China maut dan seorang pengguna jalan raya cedera parah apabila komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan Leburaya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Cheras, Kuala Lumpur.

Pada 3 Mac lalu, dua maut manakala tiga lagi cedera apabila struktur jambatan lebuh raya SUKE berhampiran Desa Tun Razak menghala Ampang runtuh, setelah sebuah treler merempuh perancah besi lebuh raya itu.

Sebelum itu, pada September tahun lalu seorang wanita nyaris maut apabila kereta dipandu ditimpa batu konkrit daripada struktur pembinaan Lebuhraya SUKE, yang jatuh di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2). -SM

(Visited 332 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button