NasionalNegeri

Royalti petroleum: Kelantan hargai kerajaan persekutuan

KERAJAAN Kelantan hari ini berterima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana mengiktiraf negeri itu layak menerima bayaran tunai hasil petroleum sebanyak lima peratus daripada Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Dalam kenyataannya di sini, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata pengumuman itu menunjukkan keterbukaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memastikan hak rakyat Kelantan terjamin.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat, dilaporkan berkata bayaran tunai hasil petroleum yang dibayar kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan mencecah  RM59.8 bilion dalam tempoh 2008 hingga 2019.

Mustapa dilaporkan berkata Petronas membuat bayaran tunai hasil petroleum sebanyak lima peratus secara terus, masing-masing kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

Bagi Kelantan dan Terengganu pula, Petronas menyalurkan bayaran kepada Kementerian Kewangan, yang seterusnya membuat bayaran kepada kedua-dua negeri tersebut.

Secara keseluruhan, RM24.54 bilion dibayar kepada Sarawak, RM12.78 bilion kepada Sabah, RM22.04 bilion kepada Terengganu dan RM403.25 juta dibayar kepada Kelantan.

Mustapa dilaporkan berkata Petronas juga telah membayar dividen berjumlah RM282 bilion kepada kerajaan persekutuan dari 2010 hingga 2019. – BERNAMA

(Visited 203 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button