Nasional

Rentas negeri untuk berbulan madu, suami isteri dipanggil polis

SEPASANG suami isteri yang tular dilaman sosial selepas memuat naik gambar mereka merentas negeri untuk berbulan madu telah dipanggil polis untuk memberi keterangan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju,  Ashari Abu Samah berkata, lelaki yang juga ahli perniagaan itu telah memohon kebenaran rentas negeri ke Johor Bahru pada 15 Mac lalu.

“Lelaki tersebut memberitahu yang mereka ke sana atas tujuan perniagaan dah telah mengemukakan dokumen-dokumen yang diperlukan.

“Permohonan mereka juga diluluskan bermula Rabu hingga semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Ashari memberitahu yang gambar mereka yang didakwa sedang berbulan madu telah tular di laman sosial hingga mendapat kecaman netizen.


Ujarnya, netizen telah mempersoalkan mengapa kebenaran diberikan terhadap mereka dengan tujuan untuk berbulan madu.

“Mereka telah dipanggil untuk memberi keterangan dan mengesahkan mereka tinggal serta menginap di sebuah resort di Johor sepanjang urusan perniagaan mereka di sana.

“Mereka juga telah mengemukakan bukti segala urusan perniagaan serta resit tempat penginapan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, pasangan ini juga mengesahkan ada memuat naik gambar mereka di akaun Instagram milik isterinya.

Namun jelasnya, pasangan itu memberitahu tujuan mereka memuat naik gambar adalah untuk tujuan peribadi tetapi telah tular di laman sosial.

“Mereka juga menafikan berada di Pulau Perhentian, Terengganu seperti yang ditularkan,” katanya.

Ashari menasihatkan orang ramai yang mendapat kelulusan rentas negeri agar sentiasa berhati-hati dan bertanggungjawab serta tidak menyalahgunakan kebenaran rentas negeri yang dikeluarkan oleh pihak polis.

Tambahnya, jika terdapat individu yang menyalahgunakan kebenaran ini, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka yang berkenaan,” katanya. – SM

(Visited 73 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button