PRN Sabah: 16,877 anggota polis, tentera dan pasangan undi awal hari ini
PROSES pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 bermula pukul 8 pagi tadi bagi membolehkan 16,877 anggota polis, tentera dan pasangan masing-masing menunaikan tanggungjawab mereka di 55 pusat mengundi di seluruh negeri.
Proses pengundian awal ini akan berlangsung sehingga pukul 5 petang nanti.
Pusat pengundian awal termasuk di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia Teluk Sepanggar dan Kem Lok Kawi, di Kota Kinabalu.
Pengundi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mencegah penularan Covid-19.
Ini termasuk memakai pelitup muka, saringan suhu badan, mengamalkan penjarakan fizikal dan menggunakan pensanitasi tangan.
Ejen calon dan pemerhati pilihan raya yang dilantik SPR dibenar menyaksikan proses pengundian awal itu, yang akan turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook SPR. – BERNAMA – SM