Politik

Penghinaan terhadap warga keselamatan alasan kukuh tolak Warisan

Anggota tentera dan polis diminta menolak Parti Warisan

PENGHINAAN yang dilakukan oleh pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) terhadap anggota pasukan keselamatan merupakana alasan kukuh untuk menolak parti itu terutama dalam kalangan pengundi awal.

Para pengundi awal membabitkan 7,487 anggota tentera dan 9,390 anggota polis diminta menolak parti Warisan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad berkata, walau pun Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi telah memohon maaf tetapi ia sudah terlambat.

Kata Noraini, permohonan maaf itu tidak dapat mengubat hati ahli keluarga mereka yang terlibat dengan tragedi Tanduo, Lahad Datu, Sabah yang bukan sahaja telah terluka malahan lebih memeritkan, kenyataan maaf itu seolah-olah tidak ikhlas.

“Hari ini seramai 16,877 orang mengundi awal di 55 pusat mengundi. Saya amat berharap, rasa terluka dan terhina warga keselamatan ini akan diterjemahkan dalam undi mereka. Kita tidak boleh berkompromi dengan orang yang memandang hina terhadap mereka yang menyabung nyawa demi keselamatan dan keharmonian negara.

“Anggota keselamatan adalah wira negara dan kerana itu jugalah, setiap tahun kita meraikan Hari Pahlawan kerana jasa mereka amat kita hargai dan tidak ada galang ganti. Tapi sayangnya, pihak yang tidak bertanggungjawab telah memandang hina pengorbanan yang dilakukan,” ujar beliau seperti yang dipetik dari UMNO-Online.

Katanya lagi, rakyat Sabah perlu memastikan pada 26 September ini nanti,  mereka menolak parti Warisan yang gagal bukan sahaja dalam mentadbir kerajaan negeri dan membela nasib rakyat Sabah tetapi mereka juga gagal mempertahankan keselamatan dan maruah bumi Sabah.

“Kerana itulah mereka seakan-akan membuka peluang untuk berunding apabila Filipina cuba menuntut bumi Sabah sedangkan kerajaan Persekutuan tidak sama sekali membuka pintu rundingan kerana Sabah adalah hak Malaysia.

“Terdapat banyak sebab dan alasan untuk rakyat Sabah menolak kerajaan Warisan. Maka janganlah berfikir dua kali untuk membuang undi. Yakinlah Barisan Nasional (BN) adalah yang terbaik dalam membela nasib rakyat tanpa sedikitpun membezakan agama dan kaum,” ujar Ahli Parlimen Parit Sulong itu. – SM

(Visited 60 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button