KesihatanNegeriPenyakit

“Terima kasih abang bomba” – Mowgli Malaysia

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Terengganu hari ini tampil menghulurkan bantuan memandikan kerbau-kerbau milik keluarga Muhammad Syukur Khamis atau lebih dikenali sebagai Mowgli Malaysia.

Tindakan JBPM Kuala Terengganu itu adalah rentetan daripada separuh daripada 110 ekor kerbau milik keluarga Mowgli Malaysia mati akibat wabak hawar berdarah.

Insiden yang menimpa kerbau-kerbau peliharaan keluarga Mowgli Malaysia mendapat simpati daripada khalayak dan pihak agensi seperti JBPM Kuala Terengganu sedia membantu dengan memandikan kerbau-kerba yang masih ada.

“Terima kasih banyak-banyak kepada pihak bomba kerana membantu memandikan kerbau-kerbau. Cuaca memang sangat panas hari ini.

“Saya bimbang kalau kerbau-kerbau yang masih ada ini mati kalau dibiarkan panas untuk satu tempoh yang panjang,” kata Muhammad Syukur.

Beliau berkata, sebelum ini, keluarga terpaksa berulang-alik dari rumah ke kandang kerbau sejauh tiga kilometer untuk mengangkut air dan menggunakan pam bagi memandikan kerbau seekor demi seekor.

Itu memang menyukarkan tetapi menjadi rutin harian mereka demi menyelamatkan kerbau-kerbau yang masih ada.

Mowgli Malaysia, 15, berkata, pada kebiasaannya semua kerbau peliharaan keluarganya akan dibiarkan keluar meragut rumput dan berkubang di sekitar kawasan kandang di Kampung Kubang Bujuk.

Bagaimanapun, kata beliau, sejak kematian 56 ekor kerbau peliharaan keluarganya secara berperingkat-peringkat, bermula pada 9 September lalu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu telah mengarahkan supaya mengurung semua kerbau yang masih ada bagi mengelakkan haiwan itu keluar dan bercampur dengan ternakan-ternakan lain.

Kata Muhammad Syukur, mereka akur dengan arahan daripada pihak JPV kerana memahami, kuarantin itu perlu dilakukan bagi mengelakkan jangkitan wabak hawar ke kawasan-kawasan lain.

“Namun cabaran kami ialah untuk memastikan semua kerbau terus selesa berada di dalam kandang kerana habitat haiwan itu sememangnya memerlukan cuaca sejuk untuk terus hidup,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, Muhammad Syukur gembira kerana dapat memandikan sendiri kerbau-kerbau peliharaannya dengan menggunakan hos bomba melalui tunjuk ajar anggota bomba.

Sementara itu, bercakap kepada BERNAMA, Ketua Operasi Pegawai Bomba, Ahmad Khairi Mamat berkata, enam anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu diarahkan memberi khidmat khas bagi membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh keluarga Mowgli Malaysia.

“Kita memahami masalah yang mereka hadapi iaitu kerbau-kerbau yang ada di kandang, perlu dimandikan kerana tidak dapat berkubang.

“Jadi, hari ini, kita telah menggunakan 3,600 liter air untuk tujuan menyejukkan haiwan-haiwan peliharaan ini.

“Bagaimanapun untuk tindakan selepas ini, bergantung kepada keadaan semasa dan sekiranya perlu, kita akan mengambil tindakan proaktif atau sepatutnya,” kata beliau. – SM

(Visited 163 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button