Nasional

Pfizer dilapor perlu enam minggu sesuaikan vaksin dengan varian baharu Covid-19

BELUM terlewat bagi rakyat negara ini mendapatkan vaksin untuk menghadapi varian baharu Koronvirus (Covid-19) sekiranya menular di negara ini.

Bagaimanapun, syarikat pengeluar vaksin yang akan membekalkannya kepada negara ini mendakwa memerlukan enam minggu untuk mengubah kandungan vaksin sedia ada.

Ia adalah bertujuan memastikan vaksin keluaran mereka berkesan melawan varian baharu yang muncul di United Kingdom (UK) awal bulan ini.

Namun Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) memaklumkan, pihaknya melalui awatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) akan berbincang dengan Pfizer.

Perbincangan itu untuk mengesahkan sebarang vaksin keluarannya yang lebih berkesan terhadap varian baharu Covid-19, VUI202012/01, yang dikesan melanda UK ketika ini, turut diperolehi melalui perjanjian sedia ada.

“Mereka sedang mengkaji dan memerlukan sekitar enam minggu untuk melakukan perubahan di dalam kandungan vaksin supaya lebih berkesan.

“Kita akan bercakap, kalau boleh tukar, adakah ia akan menjejaskan kontrak.”

Kata Menterinya, Khairy Jamaluddin yang juga pengerusi jawatankuasa khas JKJAV seperti dilapor portal Berita Harian semalam.

Terdahulu, kerajaan memperuntukkan RM3 bilion dalam Belanjawan 2021 bagi mendapatkan bekalan vaksin.

Daripada jumlah tersebut RM2 bilion dijangka akan dibelanjakan untuk membekal vaksin kepada sekitar 80 peratus rakyat Malaysia pada suku pertama dan kedua tahun hadapan.

Tambah Khairy, kerajaan juga akan mendapatkan bekalan vaksin daripada pelbagai pembekal berdasarkan kawasan dan kemudahan dimiliki Kementerian Kesihatan (KKM).

Ini kerana, terdapat pembekal yang menghasilkan vaksin tanpa memerlukan simpanan pada suhu kurang daripada -70 darjah celcius.

Hal demikian memudahkan penyampaian vaksin kepada kawasan-kawasan pedalaman yang tidak memerlukan kelengkapan khas penyimpanan vaksin.

Menurut Khairy, perbincangan juga sudah diadakan dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengenai hospital yang berupaya menempatkan vaksin keluaran Pfizer-BioNtech.

“Semalam (kelmarin) kita bincang untuk kenal pasti hospital untuk dihantar vaksin Pfizer bagi disimpan pada suhu -70°C,” katanya.

Khairy berkata, vaksin keluaran Pfizer dijangka diterima secara berperingkat-peringkat bermula Februari ini manakala sejumlah 6.4 juta vaksin AstraZeneca bakal diterima April ini. – SM

(Visited 81 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button