Nasionalpilihan

Petani di Paya Luboh lega hujan turun

Kira-kira 50 petani yang mengusahakan hampir 100 hektar tanaman padi di Paya Luboh dan Seberang Gajah, Tangga Batu dekat sini lega hujan turun sejak tiga hari lalu membawa rahmat untuk mereka kembali semula membajak.

Sebelum ini mereka dilanda kebimbangan selepas sawah kering kerontang dan sukar untuk membuat batas kerana tanah keras bagi memulakan aktiviti menanam semula padi selepas tertangguh akibat cuaca panas.

Ketua Unit Peladang Paya Luboh, Zahedan Udiniah berkata, sebahagian besar petani kini melahirkan rasa lega hujan yang turun dan sawah digenangi air memudahkan mereka untuk menanam selepas tamat musim menuai Mac lalu.

“Kebanyakan pesawah menangguhkan dulu untuk menanam padi kerana tanah keras dan sukar untuk membajak.

“Mulanya kami bimbang musim panas berterusan sebahagian besar sawah kering dan faktor kesihatan turut diambil kira untuk mereka turun ke sawah dibimbangi terkena strok haba.

“Apabila hujan turun sebahagian besar sawah dipenuhi air dan ini memudahkan untuk pesawah menanam padi baharu yang sepatutnya bermula sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri,” ujarnya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Zahedan berkata, kebanyakan pesawah sudah kembali semula untuk meneruskan aktiviti menanam padi bagi memastikan padi cukup masak menjelang musim hujan yang dijangka pada Ogos ini.

Sementara itu seorang petani, Muhammad Akmal Mohd. Hasan, 27, berkata, dia rasa bersyukur kerana tidak perlu risau untuk memulakan proses menanam padi selepas hampir sebulan tidak dapat mengusahakannya disebabkan musim kemarau.

Katanya, sewaktu musim panas yang berterusan menyebabkan dia menangguhkan buat sementara waktu menanam padi kerana sawah kering selain ketiadaan sumber air.

“Tapi apabila hujan mula turun sejak tiga hari lalu, petak sawah saya mula digenangi air dan saya boleh mulakan proses takung air bagi membolehkan kerja-kerja sawah dimulakan,” katanya.

Muhammad Akmal berkata, dia berharap supaya hujan terus turun bagi membolehkan kerja-kerja membajak sawah dilakukan segera terutama mengejar musim hujan pada Ogos ini.

“Jika hujan terus turun, selepas membajak saya boleh mula proses menabur benih padi jenis 269,” katanya yang mengusahakan sawah seluas dua hektar. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button