Berita

“Hendak jadi hero jalanan, belajar dahulu“-PMX

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa isu ahli Parlimen pembangkang mendakwa diri mereka “miskin” tidak sepatutnya timbul, memandangkan pendapatan mereka boleh mencecah RM40,000 sebulan termasuk elaun.

Menurutnya, jika seseorang ahli Parlimen mengalami masalah kewangan, ia berpunca daripada pengurusan kewangan yang kurang bijak, termasuk tabiat berhutang yang melampau.

“Hendak jadi hero jalanan, belajar dahulu. Sekarang mereka gunakan isu ini untuk membuat bising. Ada yang kata sampai miskin berhutang, sedangkan gaji ahli Parlimen semua mencecah RM30,000 hingga RM40,000.”

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan tetap menyalurkan peruntukan kepada rakyat melalui pelbagai mekanisme, tetapi bukan secara langsung melalui ahli Parlimen seperti sebelum ini.

Reaksi Terhadap Dakwaan Muhyiddin

Kenyataan ini dibuat sebagai respons kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang sebelum ini mendakwa syarat peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang dalam Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan adalah terlalu ketat dan tidak adil.

Muhyiddin mendakwa, syarat-syarat tersebut seolah-olah memaksa pembangkang untuk menyerahkan segala kuasa kepada kerajaan hanya demi mendapatkan peruntukan sekitar RM200,000 hingga RM300,000.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan bahawa perubahan sistem ini bertujuan memastikan dana sampai terus kepada rakyat dan bukan disalurkan secara langsung kepada ahli Parlimen.

“Untuk kata rakyat terbeban itu tidak benar. Ahli Parlimen miskin papa kedana pun tak betul. Saya tak tahulah, kalau RM40,000 pun masih dikira miskin.”

Dengan nada berseloroh, Perdana Menteri juga menyindir gaya hidup sesetengah ahli Parlimen yang mungkin menyebabkan mereka terjerat dengan hutang.

“Kalau hutang beli kereta banyak, isteri pun ramai, mungkinlah,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button