
PN Tolak Syarat Peruntukan Kerajaan, Syed Saddiq Pilih Terima
PENGURUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa parti itu mempunyai justifikasi kukuh untuk tidak bersetuju dengan syarat yang ditetapkan kerajaan berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Menurutnya, syarat yang digariskan dalam Memorandum Persefahaman (MoU) tersebut dianggap terlalu ketat dan luar biasa, seolah-olah pihak pembangkang perlu tunduk sepenuhnya kepada kerajaan.
Mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yussof mengenai Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang bakal menerima peruntukan, Muhyiddin berkata keputusan itu adalah hak masing-masing, namun PN berpegang pada pendirian mereka.
“Kalau Syed Saddiq mahu menerimanya, itu keputusan beliau. Tetapi PN mempunyai alasan yang kukuh untuk tidak bersetuju kerana syarat yang dikenakan terlalu luar biasa, seolah-olah kami perlu menyerahkan segalanya kepada kerajaan hanya demi mendapatkan peruntukan RM200,000 atau RM300,000.
“Saya telah jelaskan sebelum ini bahawa ia tidak adil. Ketika PN menjadi kerajaan dahulu, peruntukan diberikan kepada semua tanpa sebarang syarat kerana wang tersebut adalah untuk kepentingan rakyat, bukan untuk kegunaan peribadi,” katanya ketika menghadiri Program Rahmat Ramadan Bersatu, malam tadi.
Hadir sama dalam program itu ialah Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali serta Pengerusi PN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker.
Muhyiddin turut menyatakan bahawa tindakan kerajaan dalam pemberian peruntukan ini dilihat sebagai satu bentuk diskriminasi terhadap wakil rakyat berdasarkan kecenderungan politik mereka.
Sabtu lalu, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan bahawa kerajaan kini berada dalam peringkat akhir menyediakan draf perjanjian untuk membolehkan Syed Saddiq menerima peruntukan bagi kawasan Parlimennya.
Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dan Ahli Parlimen Pagoh menegaskan, PN tidak mempunyai masalah sekiranya Syed Saddiq memilih untuk menerima peruntukan tersebut.