Hiburan

Along Cham Harap Kes Pengesahan Lafaz Cerai Taklik Selesai Dengan Baik

PELAKON dan pelawak, Along Cham, 42, berharap tuntutan pengesahan lafaz cerai taklik terhadap isterinya, Afreena Suhaimi, 33, dapat diselesaikan dengan baik dalam prosiding mahkamah hari ini.

Memetik sumber dari Berita Harian, Along tiba di Mahkamah Rendah Syariah Sepang sekitar jam 10.20 pagi dan menyatakan bahawa terdapat perkara tertentu yang hanya akan dikemukakan di dalam kamar mahkamah.

“Hari ini adalah pengesahan berhubung pelanggaran taklik, saya berharap semuanya berjalan lancar dan selesai seperti yang dirancang.

“Ada perkara yang akan didedahkan nanti, tetapi saya hanya akan bercakap di mahkamah. Saya tidak mahu mengulas lanjut kerana bimbang akan membuka aib rumah tangga. Jadi, lebih baik saya serahkan kepada mahkamah untuk menentukan,” katanya ketika ditemui. Along hadir ditemani ibunya, Siti Habsah Kadir, 64.

Sementara itu, Afreena tiba di mahkamah sekitar jam 10.30 pagi bersama ibu bapa serta peguam syarie, Mohamad Iezwan Ielias.

“Saya berharap segala urusan hari ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang penangguhan kerana perkara ini telah tertangguh sekian lama. Kami hanya menunggu keputusan mahkamah,” ujar Afreena.

Menurut peguam syarie Mohamad Iezwan, hari ini merupakan sebutan pertama kes berikutan pemfailan yang dibuat oleh Along.

“Mahkamah akan mendengar sebutan kes terlebih dahulu sebelum memberikan arahan selanjutnya, sama ada akan ada tuntutan balas atau terus ke perbicaraan,” jelasnya.

Terdahulu, Along telah memfailkan permohonan lafaz cerai taklik terhadap Afreena di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada 10 Februari lalu berdasarkan alamat kediamannya.

Dalam kenyataan sebelum ini, Along mendedahkan bahawa beliau sepatutnya telah memfailkan permohonan itu lebih awal pada 16 Disember tahun lalu. Namun, perkara tersebut tertangguh selepas beliau ditahan polis pada 14 Disember kerana memiliki ganja.

Along mendakwa isterinya telah melanggar lafaz taklik yang melibatkan tiga perkara sepanjang perkahwinan mereka.

Pada 28 Januari lalu, Along turut hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya bagi tujuan memfailkan dan mengesahkan lafaz cerai taklik terhadap Afreena. Bagaimanapun, urusan tersebut tidak dapat dilaksanakan di mahkamah berkenaan kerana ia perlu diproses di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, mengikut alamat kediamannya.

Untuk rekod, Along dan Afreena mendirikan rumah tangga pada 4 April tahun lalu dalam perkahwinan kedua buat Along selepas perpisahan dengan bekas isteri pertamanya, Zila Saeron, pada September 2016.

Hasil perkahwinan pertama, Along dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Daniel, 14, yang kini berada di bawah jagaannya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button