Nasional

Pertimbangkan semula larangan ke atas aktiviti perikanan rekreasi

KERAJAAN Persekutuan diminta pertimbangkan semula larangan yang dikenakan ke atas aktiviti perikanan rekreasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), memandangkan perintah itu akan dilonggarkan dengan syarat-syarat tertentu bermula Isnin ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri Dr Azman Ibrahim berkata, langkah itu juga penting kerana di Terengganu majoriti mereka yang tergolong dalam perikanan rekreasi ini, bergantung kepada perikanan sebagai sumber pendapatan.

“Sebenarnya di Terengganu (perkataan) ‘rekreasi’ itu hanyalah di atas kertas dan bukan bermaksud ‘suka-suka’. Terdapat lebih kurang 2,000 nelayan bot fiber dan nelayan Zon A yang tidak berlesen, yang tergolong dalam perikanan rekreasi, terjejas pendapatan ekoran tidak dibenarkan beroperasi sepanjang PKP ini.

“Sekiranya sektor-sektor lain seperti makanan dan perhotelan boleh dibuka semula Isnin ini, kenapa tidak perikanan rekreasi?

“Sekiranya dibenarkan, SOP (Prosedur Operasi Standard) boleh dikenakan seperti hadkan jumlah yang menaiki bot mengikut saiz bot dan tetapkan pukul berapa perlu pulang atau berada di pangkalan,” katanya kepada Bernama.

Dr Azman berkata, pihaknya telah berbincang dengan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi pada hari ini dan pihak kementerian itu akan meneliti perkara tersebut.

Semalam Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan di Malaysia, akan dibenarkan beroperasi bermula Isnin ini tertakluk kepada syarat-syarat dan SOP, yang ditetapkan pihak berkuasa.

Namun, menurut kenyataan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara masih terdapat aktiviti-aktiviti yang tidak dibenarkan semasa tempoh PKPB, termasuk aktiviti perikanan rekreasi.

Sementara itu dalam laman Facebooknya, Dr Azman meminta pihak berkaitan mengkaji semula pembekuan pemberian lesen Zon A dan lesen bot fiber, kepada nelayan.

“Antara sebab yang selalu disebut Jabatan Perikanan sebagai justifikasi untuk membekukan lesen itu adalah bagi menjaga sumber perikanan.

“Dikatakan sumber perikanan kita semakin sedikit. Apabila nelayan semakin ramai maka semakin banyak sumber perikanan akan dikaut, lalu akhirnya sumber itu akan habis.

“Realitinya, nelayan pantai Zon A dan nelayan fiber tidak menggunakan alatan menangkap ikan yang merosakkan sumber perikanan dan mengganggu ekosistem marin. Yang menjadi igauan ialah kegagalan mengawal aktiviti pukat tunda yang menceroboh zon tangkapan nelayan pantai,” katanya. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button