Negeri

Perlis laksana SOP KAFA, SAPPs semasa pandemik

TITAH DULI YANG TERAMAT MULIA TUANKU YANG DIPERTUA
MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU PERLIS (MAIPs) BERKAITAN PENYELARASAN PELAKSANAAN SAPPs DAN KAFA DI SEKOLAH-SEKOLAH KPM NEGERI PERLIS

Menjunjung titah perintah dan perkenan DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, serta menginsafi kemunculan kluster-kluster institusi pendidikan di seluruh negara yang berkait dengan gelombang penularan terbaru Covid-19, setelah meneliti rumusan Bengkel Penyelarasan Prosedur Operasi Standard (SOP) Sekolah Agama Petang Perlis (SAPPs) dan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Negeri Perlis yang diadakan pada 23 April 2021 (Jumaat) maka dengan ini diperkenankan Kaedah Pelaksanaan SAPPs dan KAFA di Sekolah-Sekolah KPM Negeri Perlis sebagai langkah pencegahan awal daripada berlakunya penularan tempatan dalam kalangan murid di negeri Perlis tercinta seperti lampiran perutusan ini yang merangkumi perkara-perkara seperti berikut:

i. Pemakaian SOP dan Garis Panduan yang berkaitan.
ii. Kehadiran murid berdasarkan penggiliran mingguan dan peraturan berkaitan.
iii. Masa pelaksanaan SAPPs dan KAFA

Di kesempatan ini, saya turut mendoakan agar seluruh rakyat agar dikurniakan kemudahan dalam berhadapan situasi berpanjangan pandemik Covid-19 dan berharap agar segala ujian ini dapat berakhir dengan sebaiknya.

MENJUNJUNG SYIAR MEMAJU UMMAH
1 KURUN MAIPs: MENGUKUH QIADAH, MENGISLAH UMMAH

 

SYED FAIZUDDIN PUTRA IBNI TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL
D.K., S.P.M.P., P.A.T.
Doctor of Education (Honoris Causa) La Trobe University, Melbourne, Australia
Honorary Doctorate In Management Science, Yala Rajabhat University, Thailand
Raja Muda Perlis

Yang DiPertua
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis

Termaktub di Istana Arau
02600 Arau
Perlis

Bertarikh : 2 Mei 2021 bersamaan 20 Ramadan 1442H

_________________________

PENYELARASAN PELAKSANAAN SAPPs DAN KAFA
DI SEKOLAH-SEKOLAH KPM NEGERI PERLIS

Menginsafi kemunculan kluster-kluster institusi pendidikan di seluruh Malaysia yang berkait dengan gelombang penularan terbaru Covid-19, Bengkel Penyelarasan Prosedur Operasi Standard (SOP) Sekolah Agama Petang Perlis (SAPPs) dan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Negeri Perlis yang diadakan pada 23 April 2021 (Jumaat) telah merumuskan:

A. KAEDAH PELAKSANAAN SAPPs DAN KAFA DI SEKOLAH-SEKOLAH KPM NEGERI PERLIS

Pemakaian SOP dan Garis Panduan yang berkaitan.

1. Kaedah pelaksanaan SAPPs dan KAFA di Sekolah-sekolah KPM Negeri Perlis ini hendaklah dibaca bersama:

a. SOP yang telah diperkenankan dalam Titah Perutusan DYTM Tuanku Yang DiPertua MAIPs [MAIPs.100-6 Jld 7 (87)] pada 25 Jun 2020;
b. Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah, KPM;
c. Garis Panduan Pelaksanaan Aktiviti Sukan dan Kokurikulum, KPM;
d. Garis Panduan Pembukaan Semula KAFA, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM); dan
e. Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah Bagi Institusi Pendidikan Agama Swasta (Tahfiz Dan Pondok) Di Bawah Kawalan Pihak Berkuasa Agama Negeri.

Kehadiran murid berdasarkan penggiliran mingguan dan peraturan berkaitan.

2. Bermula pada 4 Mei 2021 (Selasa), kehadiran murid sesi persekolahan pagi, SAPPs dan KAFA di Sekolah-sekolah KPM Negeri Perlis adalah seperti berikut:

a. Melibatkan semua murid SAPPs dan KAFA tahun satu (1) hingga tahun enam (6);
b. SAPPs dan KAFA akan dilaksanakan pada Hari Selasa, Rabu dan Khamis sahaja;
c. Dilaksanakan secara penggiliran mingguan mengikut tahap murid iaitu:
i. Murid tahap 1 (Tahun 1, 2 dan 3) perlu hadir pada minggu genap (Minggu 2 dan 4);
ii. Murid tahap 2 (Tahun 4, 5 dan 6) perlu hadir pada minggu ganjil (Minggu 1, 3 dan 5);
d. SAPPs dan KAFA akan bersambung sebaik sahaja sesi persekolahan pagi selesai. Murid tidak dibenarkan pulang ke rumah pada waktu tengah hari;
e. Perkhidmatan kantin akan beroperasi sehingga petang (secara bungkusan) melalui kaedah prabayar bagi memudahkan murid yang terlibat, kecuali pada Bulan Ramadan;
i. Murid hanya dibenarkan untuk makan dan minum di tempat masing-masing;
ii. Murid tidak dibenarkan berkongsi peralatan dan makanan dengan rakan;
f. Murid perlu membawa sejadah sendiri semasa solat di sekolah;
g. Murid dibenarkan pulang ke rumah bermula pada pukul 4:30 petang;

 

Masa pelaksanaan SAPPs dan KAFA

3. Masa pelaksanaan SAPPs dan KAFA di Sekolah-sekolah KPM Negeri Perlis adalah seperti berikut:

a. Guru dikehendaki hadir bertugas bermula pada pukul 12:30 tengah hari dan pulang pada pukul 5:30 petang;
b. Kehadiran guru direkodkan oleh Penyelaras dan disahkan oleh Guru Besar / Penolong Kanan.
c. Masa Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) murid minimum tiga (3) jam sehari termasuk masa solat dan rehat.
d. Guru perlu sentiasa mengawal pergerakan murid pada setiap masa ketika berada di sekolah;

 

B. PERINGATAN

4. Guru dan murid dikehendaki melaksanakan SOP yang telah ditetapkan oleh MAIPs, KPM, JAKIM dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) sepanjang sesi persekolahan pagi, SAPPs dan KAFA di Sekolah-sekolah KPM Negeri Perlis dilaksanakan;

5. Pelaksanaan SAPPs dan KAFA di Sekolah-sekolah KPM Negeri Perlis semasa tempoh pelaksanaan PKPP tahun 2021 ini akan terus berlangsung sehingga keputusan baharu dikeluarkan kelak.

C. HARAPAN

6. Ramadan ini, marilah kita bersama-sama menghidupkan budaya taawun iaitu bertolong-tolongan di atas jalan kebaikan dan taqwa demi menjaga nyawa, serta melestarikan maslahah generasi muda Negeri Perlis untuk mendapat Pendidikan Islam menerusi SAPPs dan KAFA.

7. Kami berdoa semoga segala pengorbanan para ibu bapa, penjaga, guru, murid dan seluruh masyarakat bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 ini akan menjadi kunci-kunci kita semua ke Syurga Firdaus al-A’la.

 

Dirumuskan oleh:

(DR. HAJI HAZMAN BIN HASSAN)
Pengarah
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs)

 

(ENCIK NAHARUDEEN BIN OTHMAN)
Pengarah
Jabatan Pendidikan Negeri Perlis (JPNPs)

(ENCIK ZAINI BIN MEH)
Naib Yang DiPertua Pengerusi
Majlis Guru Besar Negeri Perlis (MGBPs)

(PROF. MADYA DR. HAJI ABDUL JALIL BIN RAMLI)
Persatuan Ibu Bapa Komuniti Negeri Perlis (JPIBKPs)

Bertarikh: 23 April 2021 bersamaan 11 Ramadan 1442H

(Visited 502 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button