Glenn Januari meninggal dunia akibat radang otak
DUNIA hiburan Indonesia dikejutkan dengan kematian penyanyi yang popular dengan lagu Januari, Glenn Fredly, petang tadi, waktu tempatan.
Media negara itu melaporkan mendiang berusia 44 tahun meninggal dunia di Rumah Sakit Setia Mitra, Jakarta, akibat meningitis (radang selaput otak).
[BACA] Penyanyi Maya Matahari meninggal dunia — Suara Merdeka
Memetik laporan KOMPAS.com, berita sedih itu dimaklumkan rakan seperjuangannya, Tompi. “Telah berpulang saudara kami, Glenn Fredly, malam ini.
“Mohon dimaafkan semua salahnya. Dia yang selalu hadir menggerakkan kita semua,” katanya melalui aplikasi WhatsApp yang dikirim kepada portal berita berkenaan.
Pada 18 Februari lalu, pelakon Malaysia, Ashraf Sinclair yang juga suami penyanyi/pelakon Indonesia Bunga Citra Lestari meninggal dunia akibat serangan jantung.
[BACA] Ashraf, Bunga: Air mata ‘Wanita Terbahagia’ — Suara Merdeka
Dalam pada itu, Agensi menyebut, Glenn menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6 petang waktu tempatan (7 malam waktu Malaysia).
Sementara itu, akaun Instagram (IG) Glenn dibanjiri ratapan peminat yang rata-rata tidak percaya berita pemergian penyanyi kesayangan mereka itu.
Lahir dengan nama Glenn Fredly Deviano Latuihamallo pada 30 September 1975, beliau memulakan karier seni dengan menjadi vokalis Funk Section pada 1995.
Tiga tahun kemudian, Glenn mengorak langkah sebagai penyanyi solo dan melancarkan album bertajuk Glenn.
Beliau juga membentuk kumpulan trio bersama Tompi dan Sandhy Sondoro dan diberi nama Trio Lestari.
Penyanyi yang terkenal dengan muzik pop, R&B dan jazz ini mendirikan rumah tangga dengan penyanyi dangdut, Mutia Ayu pada 2019.
[BACA] Abam Bocey meninggal dunia — Suara Merdeka
Sebelum itu, dia pernah berkahwin dengan penyanyi Dewi Sandra pada 2006 dan bercerai tiga tahun kemudian. – SM