Ekonomi

Yayasan PEKEMA hulur RM600,000 bantu asnaf dan pelajar tahfiz sambut syawal

BAGI memastikan anak-anak asnaf dan pelajar tahfiz dapat merayakan Aidilfitri dengan lebih bermakna, Yayasan PEKEMA meneruskan komitmennya dengan menyalurkan bantuan berjumlah RM600,000 dimana jumlah yang lebih tinggi berbading tahun lepas.

Sumbangan ini bertujuan membantu golongan yang memerlukan dalam membuat persiapan menjelang Syawal.

Melalui inisiatif tahunan ini, lebih 500 penerima telah menerima baucar membeli-belah dalam sebuah program yang berlangsung di Mydin Mall USJ, Subang Jaya, hari ini. Program ini merupakan lokasi pertama sebelum diperluaskan ke pelbagai negeri di seluruh negara.

Presiden PEKEMA, YBhg. Datuk Haji Mohamed Nazari Bin Noordin, menekankan bahawa bantuan yang diberikan bukan sekadar meringankan beban penerima, tetapi juga sebagai tanda solidariti dan sokongan kepada mereka yang kurang berkemampuan.

“Kita bukan sekadar menghulurkan bantuan material, tetapi juga membawa kegembiraan kepada mereka yang menyambut Syawal dalam serba kekurangan. Semoga inisiatif ini memberi sinar baharu kepada mereka,” katanya ketika merasmikan program Bantuan Persiapan Menjelang Syawal Yayasan PEKEMA 2025.

Selain Selangor, program ini turut menjangkau ke negeri-negeri lain seperti Sabah, Sarawak, Johor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, dan Pahang. Langkah ini memastikan lebih ramai asnaf dan pelajar tahfiz dapat menikmati manfaat yang disediakan.

Mereka yang menerima bantuan terdiri daripada pelajar institusi kebajikan dan tahfiz seperti Persatuan Kebajikan Al Rayyan Malaysia (OKU Mata), Masjid Hidayatul Muttaqin, Madrasah Quran Darussalam (MQDS), dan Maahad Tahfiz Miftahul Ulum. Setiap penerima menerima baucar bernilai RM200 untuk keperluan persiapan raya.

Pelaksanaan program di Mydin Mall USJ turut mendapat kerjasama daripada pihak Mydin sendiri, dengan kehadiran Pengarah Urusan Mydin, YBhg. Datuk Wira Dr. Hj Ameer Ali Bin Mydin, bersama barisan kepimpinan PEKEMA bagi menyampaikan sumbangan secara simbolik.

Datuk Mohamed Nazari turut berharap agar usaha ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak pihak untuk bersama-sama membantu golongan yang kurang bernasib baik.

“Kami percaya bahawa kebajikan perlu dikongsi bersama, dan setiap sumbangan yang diberikan mampu mencipta perubahan dalam kehidupan mereka yang memerlukan. Semoga program ini terus diperluaskan pada masa hadapan,” tambahnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini serta mengajak lebih ramai pihak tampil membantu mereka yang memerlukan, khususnya menjelang perayaan.

Dongfeng Perkenal Model EV di Mydin Mall USJ

Dalam perkembangan lain, Central Auto Distributors Bhd, anak syarikat PEKEMA yang mengedar jenama Dongfeng di Malaysia, turut mengambil peluang mempamerkan model kenderaan elektrik (EV) baharu mereka, Dongfeng Box, di lokasi sama.

Orang ramai berpeluang melihat dengan lebih dekat teknologi EV ini, selain menikmati tawaran istimewa bagi model Dongfeng E2 dan Dongfeng E3, yang masing-masing ditawarkan pada harga bermula RM78,888 dan RM88,888 dalam unit terhad.

Langkah ini seiring dengan aspirasi PEKEMA dalam mempromosikan penggunaan EV di Malaysia serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kelebihan teknologi hijau demi masa depan yang lebih lestari.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button