
Laksanakan tugas dengan ikhlas demi kedaulatan negara
KUDAT – Laksana tugas dengan ikhlas, cekal demi pertahankan kedaulatan negara, agama dan bangsa, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda bertitah, cabaran penugasan di lapangan pada masa kini membuka peluang buat Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meningkatkan kecekapan dan mengeratkan hubungan dengan masyarakat.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, dalam melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin, pegawai kanan dan anggota PDRM sememangnya berdepan tekanan malah terpaksa bertugas tanpa mengira masa dan cuaca.
Titah baginda, berikutan itu, PDRM perlu terus bersemangat dalam menggalas amanah dan kewajipan yang diberikan kepada mereka memandangkan tugas menjaga keamanan merupakan kerjaya mulia disisi Allah SWT.
“Lakukan tugas dengan seikhlas hati demi bangsa, agama dan negara kerana sesungguhnya tugas menjaga keamanan serta keselamatan negara adalah kerjaya yang mulia,” titah Tuanku Raja Muda Perlis sewaktu Majlis Iftar Ramadan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat, di sini, bersempena Program Eksesais Perlis-Sabah 2025 (Eks Perbah).
Hadir sama dalam majlis itu adalah Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim.
Untuk rekod, Eks PerBah merupakan program cetusan Tuanku Syed Faizuddin Putra bermula sejak tahun 2003 sebagai tanda sokongan moral buat anggota keselamatan yang bertugas di sempadan perairan negara di Sabah.
Selain itu, program ini juga mengandungi dua elemen penting iaitu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta Program Titian Kasih yang menerapkan agenda pembangunan modal insan melibatkan pelajar sekolah dan penuntut insititusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Terdahulu, Razarudin turut berkesempatan mengikuti Eks PerBah 2025 bersama-sama Tuanku Syed Faizuddin Putra ke lokasi seperti Pulau Jambongan, Pulau Malawali, Pulau Balambangan dan Pulau Banggi.
Menerusi lawatan ke pulau-pulau itu, beberapa sumbangan turut disampaikan kepada anggota bertugas di pos kawalan dan penduduk yang menetap di sana.
Dalam perkembangan sama, Tuanku Raja Muda turut menyeru warga PDRM agar dapat memberikan tanggapan positif kepada masyarakat melalui penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan.
“Selain itu, anda hendaklah mengamalkan interaksi yang lebih mesra dan bersopan-santun, namun tegas serta berintegriti ketika menjalankan penugasan bersesuaian dengan tema Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada,” titah baginda.
Eks Perbah yang menutup tirai semalam memberi impak besar bukan sahaja kepada anggota keselamatan yang berada di perbatasan, bahkan kepada penduduk setempat dan para peserta.
Dalam menyantuni dan bersilaturahim dengan anggota keselamatan dan penduduk, para peserta sendiri mencabar kemampuan diri sendiri dalam situasi penuh tekanan serta memerlukan ketahanan fizikal.
FOTO