Negeri

Pengawal keselamatan maut diserang gajah liar

Tindakan gajah-gajah liar untuk melindungi anak gajah

SEEKOR gajah liar yang dipercayai menyerang seorang pegawal keselamatan di sebuah lombong pasir di Batu 6, Simpang Perani, Mawai, Kota Tinggi, Johor sehingga maut semalam disyaki berbuat demikian untuk melindungi anaknya.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Salman Saaban berkata, ini berdasarkan kesan tapak anak gajah yang ditemui di lokasi kejadian.

“Kita mengesyaki terdapat tiga ekor gajah yang terlibat termasuk seekor anak gajah. Kita percaya gajah-gajah ini terpisah dari kumpulan gajah panti yang sering berjalan berkumpulan (dalam 30 sehingga 40 ekor),” katanya.

Pihak Perhilitan juga mengesyaki gajah berkenaan naik berang dengan salakan kumpulan anjing (dalam 10 hingga 15 ekor) yang memang terdapat di kawasan kejadian di mana mangsa sedang tidur.

“Kita juga kesan ada tapak anak gajah, dipercayai gajah cuba melindungi anaknya daripada kumpulan anjing tersebut,” kata beliau hari ini.

Salman berkata, pihaknya kini sedang cuba mengesan dan menangkap gajah-gajah terbabit untuk dipindahkan ke lokasi lain.

“Kami juga membantu keluarga mangsa untuk membuat tuntutan Tabung Bantuan Serangan Binatang Buas bagi mengurangkan beban yang dipikul oleh keluarga mangsa,” katanya.

Salman berkata demikian kepada BERNAMA ketika diminta mengulas punca kejadian semalam dan tindakan pihak Perhilitan Johor dalam menangani kes berkenaan.

Semalam, lelaki berusia 56 tahun dipercayai diserang oleh dua hingga tiga ekor gajah ketika bertugas sebagai pengawal keselamatan pada pukul 10.30 pagi.

Hasil siasatan di tempat kejadian, mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring tidak berbaju serta berseluar hitam dengan kesan lebam pada badannya disyaki diserang oleh gajah liar. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button