fbpx
Rencana

Integriti vs komoditi

PERASAAN bercampur-baur rakyat Malaysia apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalah di atas tujuh pertuduhan, salah guna kuasa, penyelewengan dana dan pengubahan wang haram.

Memang sedih Najib baharu sahaja menyambut hari jadi yang ke-67 minggu lepas.

Sebagai perdana menteri, memang banyak jasanya kepada rakyat. Sikap prihatin beliau terhadap masalah rakyat tidak dapat dinafikan.

Menjadi menteri besar Pahang pada usia 29 tahun, Najib telah mewakafkan 3/4 daripada hidupnya untuk rakyat.

Semasa menjadi menteri pendidikan, Najib menaikkan gaji guru, begitu ketika menjadi menteri pertahanan pelbagai kebajikan anggota tentera dipertingkatkan.

Sampai sebelum pilihan raya lalu Najib menjanjikan kenaikkan satu anak tangga gaji kepada semua kakitangan kerajaan. Namun ia tidak tertunai kerajaan kerajaan pimpinannya tumbang.

Bagaimana Najib berusaha memewahkan rakyatnya, begitu jugalah kehidupan beliau sekeluarga sehingga menyebabkannya terjerat dengan kes jenayah.

Akhirnya Najib dijatuhi hukuman penjara selama 72 tahun, tetapi hanya perlu menjalani 12 tahun penjara kerana hukuman berjalan serentak.

Orang ramai memang sukar untuk memahami kes membabitkan Najib kerana ia berliku dan bersimpang siur.

Untuk memahami mengapa hukuman 72 tahun, tetapi hanya menjalani penjara 12 tahun sahaja satu perkara yang sukar.

Kiraannya mudah sahaja setiap satu kesalahan ada hukumannya 10 tahun dan 12 tahun. Jadi oleh kerana hukuman paling tinggi 12 tahun dan apabila ia berjalan serentak, Najib hanya perlu menjalani 12 tahun penjara.

Apa yang penting kini ialah integriti sistem perundangan dan kehakiman jelas terpelihara.

Walaupun ada yang menganggap kes ini lebih kepada pertuduhan politik, sedangkan pada hakikatnya ia tidak sebegitu.

Nilailah fakta kes dengan hati yang terbuka.

Ia kelihatan seperti tuduhan politik kerana kes berkenaan dibawa ke mahkamah ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah.

Dalam hal ini rakyat perlu sedar dengan apa yang telah dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam menyelamatkan negara daripada terus hancur kerana pentadbiran yang tidak berintegriti.

Dr. Mahathir sedar Najib tidak akan didakwa selagi Barisan Nasional (BN) tidak tumbang.

Oleh itu beliau telah menyertai PH dan menumbang kerajaan BN pada pilihan raya yang lalu.

Setelah tumbang dan Najib telah dibawa ke muka pengadilan, Dr. Mahathir telah meruntuhkan kerajaan PH dengan membawa keluar Bersatu dan mengembalikan kuasa kepada BN dan UMNO, tetapi dengan gabungan yang baharu iaitu Perikatan Nasional (PN) melibatkan Bersatu.

Dr. Mahathir pada mulanya bekerjasama dengan DAP, Amanah dan PKR di dalam blok pembangkang akhirnya memutuskan keluar dan berura-ura menubuhkan parti baharu untuk bertanding pada pilihan raya akan datang.

Parti baharu itu dijangka turut berpendekatan bersahabat dengan kerajaan PN.

Cakaplah apa jua atau kecam apa sahaja. Jasa Dr. Mahathir membangunkan negara ini dan kini membersihkan negara daripada pemimpin korup serta pentadbiran yang tidak cekap telah terbukti.

Sudah masanya juga negara kita harus dibangunkan berasaskan integriti dan bukan lagi hanya bergantung kepada komoditi.

Bekalan minyak mentah juga semakin berkurangan, pada masa yang sama harga getah dan sawit juga tidak stabil.

Ketika permintaan sarung tangan getah meroket, tetapi harga getah berada para paras terendah dalam tempoh 20 tahun iaitu hanya RM2 sekilogram.

Malaysia telah lama menjadi negara yang dirosakkan kerana kemewahan komoditi. Kita ibarat anak yang rosak kerana kemewahan dianugerahkan.

Berbanding negara jiran Singapura mereka tidak mempunyai sebarang komoditi, tetapi bergantung sepenuhnya kepada integriti dalam membangunkan negara.

Para pedagang dan syarikat besar dunia memilih negara jiran itu kerana negara berkenaan mengamal integriti yang tinggi.

Oleh itu kita perlu tegas soal integriti dan ia tidak boleh dijual beli dengan wang ringgit.

Kita tidak boleh lagi berharap bangunan mencakar langit di negara ini dibina dari hasil komoditi seperti sawit, getah dan petroliam.

Hanya dengan integriti kita akan mampu menarik pelabur dari seluruh dunia untuk melabur ke Malaysia kerana negara ini mempunyai potensi jauh lebih besar jika dibanding dengan Singapura.

Wawasan 2020 yang digarap oleh Dr. Mahathir mungkin tersasar jauh, tetapi kita masih mempunyai harapan mengembalikan integriti negara terutama pada pandangan masyarakat dunia. – SM

 

Show More

Related Articles

Back to top button
error: Isi kandungan ini di lindungi dari Copy & Paste !!