fbpx
Nasional

Peluang kunjungi ekopelancongan di Perlis

Pelbagai lokasi ekopelancongan menarik di bawah pengurusan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis yang terdapat di Taman Negeri Perlis (TNP) wajar dikunjungi oleh para pelawat dari dalam dan juga luar negara yang bertandang ke negeri Perlis.

Di sini juga wujud spesies endermik Cycas clivicola (Pokok Bogak) dan Macaca arctoides (Beruk Kentoi).

Gua Kelam yang terletak di Kaki Bukit dalam kawasan TNP ini memiliki ‘Galeri Gua Kelam’ yang juga dikenali sebagai ‘Galeri 3D’ yang merupakan tarikan baharu di kawasan pelancongan itu. Galeri sepanjang 68 meter ini merupakan pameran berbentuk gua yang memaparkan 5 komponen pameran terdiri daripada Hutan Malaysia, Hutan Taman Negeri Perlis (TNP), Keunikan flora dan fauna TNP, Gua dan pembentukan formasinya serta Sejarah Perlombongan dalam Gua Kelam.

Ia juga menpunyai Flying Fox sepanjang 100 meter yang merupakan produk baharu di Gua Kelam.

Selain daripada itu orang ramai juga berpeluang menyusuri laluan Gua Kelam 1, laluan sepanjang 370 meter dan berpeluang melihat Formasi Setul, jaluran gua batuan kapur tertua di Malaysia, struktur stalaktit, tirai gua serta mini empangan travertine dengan mineral kasiterit yang merupakan Geotapak Perlombongan di Aspiring Perlis Geopark.


Demikian dipersembahmaklumkan oleh Pengarah Jabatan Perhutanan Perlis, Awang Shafie Awang Ahmad kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan anakanda sulung baginda, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail selepas berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Abi Agro baru-baru ini.

Keberangkatan baginda bagi merasmikan kebun hidroponik yang diusahakan oleh Pengasas dan Pengurusnya Ashraf Shuib (Tel : 010 445 4000) itu ialah bersempena lawatan kerja Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) Datuk Zurinah Pawanteh ke negeri ini yang disekalikan dengan program ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Mohd Ridza Awang dan Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa KeTSA, Khairulnizam Hashim.

Tambah Awang Shafei, Rimba Herba Perlis pula menawarkan kemudahan aplikasi kod QR dengan hanya menggunakan telefon pintar untuk mengimbas Kod QR yang berada pada pokok-pokok herba yang telah dibangunkan untuk mengetahui spesies, khasiat dan cara penggunaan tumbuhan-tumbuhan herba di taman berkenaan.

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button