Nasional

Pelan Pemulihan Negara Covid-19 rangkumi empat fasa

PELAN Pemulihan Negara daripada pandemik Covid-19 merangkumi empat fasa dan diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin hari ini.

Muhyiddin berkata, pelan tersebut merupakan panduan yang dirangka berdasarkan data dan sains untuk membolehkan rakyat kembali kepada kehidupan harian biasa.

“Setiap fasa pelan pemulihan ini berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.

“Indikator pertama ialah keadaan penularan COVID-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian; indikator kedua ialah keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di Wad ICU.

“Indikator ketiganya ialah tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin,” kata Muhyiddin.

Ketika ini negara masih dalam Fasa Pertama Pelan Pemulihan Negara iaitu pelaksanaan PKP menyeluruh berikutan bilangan kes COVID-19 masih tinggi, sistem kesihatan awam di tahap kritikal dan kadar pencapaian vaksinasi yang masih rendah.

Muhyiddin berkata, Kerajaan akan menimbang peralihan kepada fasa kedua setelah purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 4,000 kes dan sistem kesihatan awam tidak lagi berada di peringkat kritikal termasuk kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi pulih ke paras sederhana.

Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara juga akan diaktifkan selepas 10 peratus populasi menerima dua dos suntikan vaksin.

Pada fasa ini kerajaan turut membenarkan aktiviti ekonomi dibuka secara berperingkat dengan kapasiti pekerja sehingga 80 peratus di premis.

Senarai positif daripada Fasa 1 akan juga diperluaskan semasa Fasa 2 dengan menambahkan beberapa sektor. Namun aktiviti sosial dan rentas negeri masih tidak dibenarkan pada fasa ini.

Fasa Ketiga melibatkan peralihan daripada pendekatan senarai positif kepada senarai negatif iaitu semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang berisiko tinggi jangkitan COVID-19.

Semua aktiviti pembuatan juga akan dibenarkan beroperasi pada Fasa 3 tertakluk kepada prosedur operasi standard dan had kapasiti.

“Kita boleh beralih kepada Fasa Ketiga sekiranya kita berjaya mencapai nilai ambang berikut, iaitu purata kes harian COVID-19 menurun ke paras bawah dua ribu kes.

“Sistem kesihatan awam berada di tahap selesa dengan penurunan kadar penggunaan katil di ICU ke paras mencukupi dan 40 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin. Nilai ambang ini dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir bulan Ogos,” katanya.

Fasa Keempat diaktifkan selepas negara berjaya mencapai purata kes harian Covid-19 menurun ke paras bawah 500 kes, sistem kesihatan awam berada di paras selamat termasuk kadar penggunaan katil di ICU di paras mencukupi dan 60 peratus populasi negara telah menerima dua dos suntikan vaksin.

“Fasa Keempat adalah fasa terakhir Pelan Pemulihan Negara di mana kita seboleh mungkin dapat kembali semula kepada norma kehidupan seharian.

“Semua sektor ekonomi akan dibuka, lebih banyak aktiviti sosial akan dibenarkan, perjalanan rentas negeri dibolehkan dan pelancongan domestik juga akan dibuka tertakluk kepada SOP yang ketat,” tegasnya.

Muhyiddin yakin negara akan mencapai imuniti kelompok pada Fasa Keempat sebelum akhir tahun ini.-SM

(Visited 398 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button