fbpx
Politik

Parti Islam Se Malaysia akhirnya sebelah kaki di dalam kerajaan

DATUK Seri Abdul Hadi Awang berjaya membawa era baharu di dalam perjuangan PAS dan kini selangkah untuk masuk ke dalam kerajaan.

Kemunculan PAS dalam sejarah politik tanah air telah bermula semenjak 23 Ogos 1951 apabila para ulama yang bersidang di Kuala Lumpur bersetuju menubuhkan sebuah persatuan yang dinamakan Persatuan Ulamak Se-Malaya.

Nama persatuan ini kemudiannya diubah menjadi Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) pada 24 November 1951, dalam satu persidangan ulama Malaya di Bagan Tuan Kecil (Butterworth), Seberang Prai.

Itulah sekelumit permulaan sejarah PAS yang diasaskan oleh para ulamak yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah pertubuhan politico-dakwah yang penting di negara ini.

PAS adalah antara parti yang mempunyai struktur kemas selain daripada UMNO dan DAP.

PAS juga terkenal dengan penyokong yang tegar dan setia, walaupun terdapat pemimpin yang keluar membentuk parti serpihan iaitu Amanah yang dipimpin oleh Mat Sabu.

Walaupun sering dipersenda kerana masih menjadi pembangkang sedangkan parti serpihan yang baru berusia setahun jangung telah menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Bagaimanapun kini mereka telah selangkah kaki di dalam kerajaan dan apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri yang kelapan ia juga bermakna bermula era baharu PAS.

PAS akan menjadi sebahagian daripada kerajaan dan pastinya mereka tidak mahu hanya menjadi ustaz untuk membacakan doa di dalam majlis-majlis sahaja.

Antara pemimpin berkaliber selain Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan juga antara dikatakan bakal buat pertama kali menjadi menteri dari PAS.

Difahamkan Abdul Hadi kurang berminat untuk menjadi menteri, tetapi lebih memilih untuk menjadi penasihat agama bertaraf menteri.

PAS sentiasa mempunyai peranan besar di dalam politik negara dan ketika UMNO tertiarap selepas kehilangan kerajaan pada pilihan raya lalu, PAS merupakan rakan yang memimpin tangan UMNO untuk bangkit semula.

Dengan terjalinnya kerjasama di dalam Muafakat Nasional kedua-dua parti semakin kukuh dan telah membuktikan kerjasama itu berjaya memenangi beberapa pilihan raya kecil dengan bergaya.

Hadi juga mempunyai peranan yang sangat besar iaitu untuk memastikan kepentingan umat Islam di negara ini terjaga dan pada masa yang sama memastikan kepentingan penganut agama lain turut terpelihara.

Sebagai pemimpin agama Hadi bukan sahaja dihormati oleh pemimpin Islam, tetapi juga agama lain di peringkat antarabangsa.

Oleh itu beliau tidak mempunyai masalah untuk memikul tanggungjawab tersebut.

Bagaimanapun semuanya hanya terjawab apabila Istana memutuskan mereka yang layak membentuk kerajaan setelah diyakini mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen.

 

Show More

Related Articles

Back to top button