fbpx
Sukan

JDT mula kempen Liga – M 2020 dengan langkah kanan

Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan kempen Liga Malaysia 2020 dengan langkah kanan selepas mengalahkan Juara Piala FA 2019, Kedah 1-0 pada perlawanan merebut Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam ini.

Jaringan tunggal perlawanan menerusi pemain pertahanan dari Brazil, Mauricio dos Santos Nascimento pada penghujung babak pertama perlawanan, sudah memadai untuk skuad Harimau Selatan mengekalkan piala berkenaan buat kali ketiga berturut-turut sejak 2018.

JDT pernah memenangi Piala Sumbangsih pada 2015 dan 2016.

Lebih manis, Mauricio turut dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan.

Selaku juara, JDT membawa pulang Piala Sumbangsih, juga dikenali sebagai Piala Sultan Haji Ahmad Shah yang disampaikan Menteri Besar Johor yang baharu, Datuk Hasni Mohammad.


Beraksi di hadapan lebih 34,000 penyokong sendiri jelas membakar semangat Skuad Harimau Selatan untuk memburu kemenangan, namun kekebalan benteng pertahanan Skuad Lang Merah yang diketuai pemain antarabangsa Singapura, Muhammad Shakir Hamzah menyaksikan beberapa percubaan berbahaya JDT berjaya dipatahkan.

Serangan bertali arus yang dilancarkan JDT akhirnya membuahkan hasil selepas Mauricio menanduk masuk hantaran daripada Gonzalo Cabrera, sekali gus menceriakan penyokong Skuad Harimau Selatan yang hadir untuk menyaksikan perlawanan pembuka tirai Liga Malaysia itu.

Kedua-dua pasukan saling bertukar asakan namun gagal menemui jaringan sehingga tiupan wisel penamat oleh pengadil, Razlan Joffri Ali.

— BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button